Kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur kini sedang berbincang dengan bekas pengurusnya, Mauricio Pochettino untuk membuat pemotongan gajinyanya yang dilaporkan bernilai £8.5 juta (RM46 juta) untuk meringankan bebanan kewangan kelab disebabkan pandemik Covid-19.
Jurulatih berusia 48 tahun itu telah disingkirkan dan digantikan dengan Jose Mourinho pada November lepas selepas lima setengah tahun mengendalikan kelab utara London itu.
Tetapi sekalipun telah empat bulan keluar dari kelab tersebut, Pochettino dan beberapa barisan kejurulatihannya masih dibayar gaji oleh pihak kelab sebagai sebahagian daripada pakej pampasan.
Daniel Levy 'asks sacked Mauricio Pochettino to take pay cut' on severance package https://t.co/WXl0ffOYKz pic.twitter.com/Bz2mc9MicW
— The Sun Football ⚽ (@TheSunFootball) April 16, 2020
Dengan kini Spurs masih dalam perbincangan dengan semua pemain dan juga staf kejurulatihan untuk mencapai persetujuan bagi membuat pemotongan gaji, bekas pengurus itu juga tidak terkecuali.
Ketika ini, masih belum diketahui apakah pemotongan gaji pemain dan jurulatih ini sama ada pengurangan ataupun penangguhan, tetapi sejak saingan EPL digantung, semua kelab sedang mengalami kerugian dan perlu menjimatkan kos mereka.
Ianya selepas beberapa kelab termasuk Tottenham menarik balik keputusan mereka untuk memberikan staf mereka cuti tanpa gaji dan memohon skim pengekalan pekerjaan yang memerlukan pihak kerajaan menggunakan dana awam untuk membayar 80 peratus daripada nilai gaji mereka.
Spurs pada Isnin mengumumkan ahli lembaga pengarah akan membuat pemotongan gaji termasuk pengerusinya, Daniel Levy yang meraih pendapatan sebanyak £7 juta pada tahun lepas. Sementara pemua pekerja pula akan menerima gaji penuh untuk bulan April dan Mei.
Bournemouth, Tottenham Tak Jadi Cutikan Pekerja Tanpa Gaji https://t.co/lEmAowqT7u pic.twitter.com/ktnNDc2mfo
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 15, 2020
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Levy, beliau memberi jaminan akan memastikan keadaan kewangan kelab dalam keadaan baik dan mampu untuk beroperasi seperti biasa apabila saingan kembali bermula.
Sementara itu, sekalipun Pochettino telah membawa Spurs melangkah ke perlawanan akhir LIga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lepas, beliau masih menganggur dan tiada mana-mana kelab yang mengambilnya sebagai pengurus.
Bagaimanapun laporan terbaharu oleh beberapa media tempatan UK telah mengaitkan Pochettino dengan Newcastle United yang kini dalam proses untuk diambil alih oleh pemilik baharu.