Quantcast

BERITA

PKNS FC Tewaskan Perak, Cipta Sejarah Muncul Juara Piala Presiden

PKNS FC mencipta sejarah tersendiri apabila menjuarai Piala Presiden buat pertama kali di dalam sejarah kelab bola sepak itu.

Tatkala pasukan senior mereka gagal menyerlah di saingan Piala Malaysia, barisan anak muda skuad Semut Merah, bergelar juara selepas menewaskan Perak dengan agregat 2-1.

Kemenangan 2-0 pada aksi pertama nyata memberi kelebihan buat pasukan kendalian Shaifulnizam Ab Khamis ini, walaupun tewas 0-1 pada perlawanan akhir timbal balik yang berlangsung di Stadium Perak pada malam tadi.

Menyedari kelebihan jaringan yang dimiliki hasil kemenangan pada 24 September lalu, PKNS FC dilihat memilih untuk lebih banyak bertahan dalam perlawanan pada awal tadi.

Final 2 Piala Presiden 2019 | Isnin, 30 September 2019

Masa Penuh

PERAK 1-0 PKNS FC
Muhammad Yusof Abdullah 67’-P

*…

Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Monday, September 30, 2019

Perak pula giat melancarkan serangan untuk memburu gol awal, namun gagal berbuat demikian sepanjang babak pertama perlawanan.

Perak yang dibimbing oleh bekas pemain, K. Nantha Kumar akhinya memecah kebuntuan apabila pemain PKNS FC dipersalahkan kerana mengasari lawan di dalam kotak penalti.

Muhammad Yusof Abdullah tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-67.

Selepas itu PKNS FC terus gagah mempertahankan kedudukan agregat sehingga ke wisel penamat untuk mengecewakan Perak.

Sebagai juara PKNS FC menerima RM150,000 manakala naib juara Perak menerima RM100,000.