Sebelum ini timbul khabar angin mengenai masa depan PKNS FC di saingan Liga Malaysia selepas berlakunya perubahan lanskap bola sepak di negeri Selangor.
Antara khabar angin sebelum ini ialah PKNS FC bakal dibubarkan dan akan dijadikan sebagai ‘feeder club’ atau pasukan simpanan kepada Selangor FA.
Namun segala spekulasi tersebut dinafikan sendiri oleh PKNS FC melalui satu kenyataan yang dikeluarkan petang semalam.
Sambil mengesahkan skuad Semut Merah akan terus bersaing di Liga Malaysia 2019 seperti musim-musim sebelum ini, beberapa langkah turut akan dilakukan sebagai langkah penambahbaikan kepada kualiti pengurusan dan pasukan pada musim hadapan.
Perkara pertama ialah berkenaan kos operasi, dan PKNS FC akan meletakkan bajet yang sederhana mulai musim hadapan. Ini termasuklah bajet untuk gaji pemain yang akan ditetapkan secara siling.
Walaupun dengan bajet yang terhad berbanding perbelanjaan pasukan lain di Liga Malaysia, PKNS FC tetap yakin mereka mampu mencabar pada musim hadapan bersandarkan keyakinan skuad musim hadapan akan diurus tadbir secara korporat dan profesional.
PKNS FC turut mengesahkan hanya 11 pemain musim 2018 akan dikekalkan untuk saingan musim hadapan termasuk seorang pemain import.
Untuk melengkapkan skuad bagi saingan musim hadapan, beberapa pemain lain sudah dikenalpasti untuk diserap ke dalam pasukan dari masa ke semasa.
“Saya telah mengenalpasti kelemahan pasukan pada musim ini dan pastinya penambahbaikan akan dilakukan dengan membawa beberapa pemain baharu,” kata Ketua Jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal semasa sidang media selepas perlawanan menentang Perak baru-baru ini.
PKNS FC mengakhiri saingan Liga Super 2018 di tangga ketiga, dan turut layak sehingga ke suku akhir Piala Malaysia musim ini sebelum disingkirkan oleh Perak TBG.
Skuad kendalian Datuk K Rajagopal ini juga berjaya mara sehingga ke separuh akhir Piala FA 2018, sebelum disingkirkan Selangor dengan agregat 5-1.