Jurulatih yang mempunyai reputasi baik dalam Liga Malaysia dan digelar pakar taktikal, Mario Gomez dikhabarkan akan kembali mencurahkan baktinya di Malaysia selepas meninggalkan JDT apabila dikaitkan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC dan Felda United.
Menurut sumber Mstar, pengendali berusia 60 tahun dari Argentina itu sudah menghubungi beberapa pasukan dalam Liga Super dan PKNS FC serta Felda United dikhabarkan sedang mempertimbangkan keputusan untuk membawa Gomez ke pasukan mereka.
PKNS FC kelihatan seperti calon utama untuk mendapatkan khidmat Gomez apabila mereka menguatkan lagi desas-desus pengkhabaran hangat itu setelah turut memuat naik berita mengenai Mario Gomez ke dalam laman Facebook rasmi kelab tersebut dengan keterangan ‘Gomez dalam radar PKNS FC ?’
Bagi menghadapi musim baru Liga Super 2018, PKNS FC juga dikhabarkan berusaha untuk membawa masuk beberapa nama besar untuk menggalas cabaran pasukan ‘Semut Merah’ itu musim hadapan.
Kepakaran yang dimiliki Mario Gomez juga mampu untuk menghadirkan sesuatu yang ditagih PKNS FC tatkala pengurusan kelab tersebut juga masih dalam misi pencarian ketua jurulatih yang mampu untuk menggantikan Sven Gartung yang direhatkan pada bulan lalu.
Bagi Felda United pula yang kini sedang giat mempersiapkan pasukan bagi menghadapi separuh akhir Piala Malaysia, B.Sathianathan kelihatan berjaya menjalankan tugas dengan baik setelah menggantikan Azmi Mohamed pada 20 Februari lalu.
Di sebalik minat yang ditunjukkan Gomez untuk kembali, masih belum terdapat perbincangan secara serius perkara tersebut samada dari pihak PKNS FC mahupun Felda United.
Sepanjang kariernya kejurulatihannya bersama Johor Darul Takzim sehingga Januari 2017, Gomez berjaya membantu kelab tersebut menjuarai Piala AFC, Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.
Beliau memulakan tugas di JDT pada bulan April 2015 selepas menggantikan Bojan Hodak.
Sumber :
Mstar (2017) – http://www.mstar.com.my/sukan/bola-sepak/2017/10/06/mario-gomez-kembali/
Kredit foto : ESPN FC