Hartamas Rebel FC Terpaksa Tunggu Minit Terakhir Untuk Tewaskan Shah Alam PIB FC 2-1

Masih segar dengan keputusan penganjur yang membatalkan kemenangan 3-2 mereka ke atas Shah Alam United kerana masalah teknikal, Hartamas Rebel FC mengembalikan perjalanan kempen Selangor Champions League 2017 mereka ke jalan yang betul dengan menewaskan Shah Alam PIB FC.

Dalam perlawanan kumpulan B yang berlangsung di Stadium Panasonic Shah Alam semalam, Hartamas Rebel FC yang berjersi merah jambu akhirnya dapat menurunkan pemain tengah import, Faye Jacque yang sudah cergas sepenuhnya.

Menentang Shah Alam PIB yang baru tewas tipis 0-1 kepada Empayar Bangi FC pada minggu lepas, Hartamas Rebel bermula dengan agak baik.

Pasukan Rebel FC yang turun dengan jersi berwarna merah jambu masih lagi segar dengan kemenangan dua minggu lalu selepas menewaskan Shah Alam United 3-2. Mereka terlebih dahulu melakukan serangan sebaik sahaja perlawanan bermula. Bagaimanapun penyudah penyerang import mereka, Mbacke Medina tumpul.

Shah Alam PIB pula lebih menumpukan permainan mereka kepada taktikal bertahan sebelum melancarkan serangan balas. Strategi final third pressing yang dilakukan PIB sangat teratur dan seringkali mengganggu tempo permainan Hartamas Rebel.

Buat seketika pada separuh masa pertama, strategi tersebut menjadi dan Shah Alam PIB berjaya mendapat beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Tetapi hanya kecemerlangan barisan pertahanan Hartamas Rebel yang menjadi pemisah.

Tetapi gawang Hartamas Rebel bocor juga akhirnya pada minit ke-31 perlawanan. Berpunca daripada pressing Shah Alam PIB ke atas pertahanan kanan Hartamas Rebel, bola pantas dirampas oleh penyerang PIB, Khairul Anuar Rahim yang tenang menyudahkan peluang.

Hartamas Rebel cuba bangkit selepas ketinggalan dengan larian-larian pantas pemain sayap mereka kerap membolosi pertahanan PIB.

Namun disiplin yang tinggi dipamerkan pertahanan Shah Alam PIB – terutamanya Zainol Shahrin dan Fikry Tukiman – memberikan kesukaran buat Medina.

Masuk separuh masa kedua, keagresifan Shah Alam PIB untuk mencari gol kedua mereka memaksa Hartamas Rebel berkampung di kubu mereka sendiri.

Mujurlah Hartamas Rebel mempunyai Faye Jacque. Kelebihan fizikal dan ketenangan Jacque di posisi defensive midfielder benar-benar membantu Hartamas Rebel untuk menyerap tekanan Shah Alam PIB sebelum melancarkan hantaran-hantaran diagonal ke penyerang sayap mereka.

Selain itu kehadiran beberapa bekas pemain Liga Malaysia dalam kesebelasan utama Hartamas Rebel pada separuh masa kedua turut membantu mereka bertahan dengan lebih baik.

Benarlah pepatah dalam bola sepak mengatakan – bola itu bulat. Apa-apa sahaja boleh terjadi.

Pada minit ke-61, jaringan penyamaan yang dicari Hartamas Rebel FC tiba juga hasil kesilapan penaga gol Shah Alam PIB sendiri, Asyraf Borhanudin. Berpunca daripada sepakan penjuru sebelah kiri, Medina berjaya melakukan satu tandukan padu ke arah Asyraf.

Bagaimanapun tangkapan Asyraf kurang kemas dan bola itu terlepas sebelum singgah ke kaki pemain Hartamas Rebel, Sudir Abd Rahman yang tidak melepaskan peluang keemasan tersebut untuk menjaringkan gol penyamaan.

Biarpun gol tersebut diprotes oleh pemain-pemain Shah Alam PIB yang mengatakan Sudir berada dalam kedudukan ofsaid, pengadil tetap dengan keputusannya.

Insiden tersebut jelas menganggu konsentrasi pemain-pemain Shah Alam PIB. Ketika inilah satu demi satu kesilapan pertahanan mereka mula timbul.

Ketika perlawanan tinggal 5 minit dan nampak berakhir dengan keputusan seri, Medina memanfaatkan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Shah Alam PIB yang berpunca daripada hantaran lintang kanan untuk menanduk masuk gol kemenangan pasukannya.

Dengan kekalahan 1-2 ini, Shah Alam PIB kini telah mengutip 2 kekalahan berturut-turut. Mereka perlu bangkit segera menjelang pertemuan menentang Gombak Klasiko FC pada minggu depan.

Statistik perlawanan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN