PKNS FC adalah antara kelab yang mengumumkan pengurangan bajet tahunan untuk saingan Liga Malaysia 2019.
Musim lalu pasukan yang sinonim dengan gelaran ‘Semut Merah’ ini membuat kejutan, berada di kalangan 3 pasukan terbaik liga. Sememangnya mengejutkan kerana tahun tersebut merupakan musim kedua mereka kembali semula ke saingan Liga Super – setelah tersingkir ke Liga Premier berakhir musim 2014.
Ketika prestasi mereka berada pada tahap memuncak pada musim lalu, pihak pengurusan tiba-tiba mengumumkan pengurangan bajet tahunan, melibatkan penetapan gaji pemain secara siling.
Adakah ini satu langkah ke belakang oleh pengurusan PKNS FC?
PKNS FC 2019
Pada musim 2017 – musim pertama di Liga Super – Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar pernah mengumumkan bajet tahunan PKNS FC adalah sebanyak RM18 juta.
Itu adalah bajet untuk musim 2017. Tiada rekod menyatakan berapakah nilai bajet PKNS FC untuk musim berikutnya. Namun nilai tersebut dianggarkan sama ataupun meningkat sedikit pada musim 2018 – ketika mereka meraih kedudukan ke-3 liga.
Ini kerana, pada musim tersebut, terdapat beberapa pemain baru menyertai kem Semut Merah – antaranya Faris Ramli, Shahril Saa’ri, Nurridzuan Abu Hassan dan juga Jafri Firdaus Chew.
Apabila diumumkan mengenai pengurangan bajet pasukan pada musim 2019, hanya 11 pemain telah dikekalkan. Turut diumumkan adalah penetapan gaji pemain secara siling. Ini bermakna, setiap pemain mempunyai had gaji masing-masing.
Dan setiap pemain yang direkrut pada musim ini juga tertakluk kepada penetapan tersebut. Sebelum musim bermula, PKNS FC bertindak melepaskan beberapa pemain yang mungkin gajinya berada diluar kemampuan kelab.
Menariknya, PKNS FC seperti tidak terkesan dengan pengurangan bajet tersebut. Sepepas 12 perlawanan Liga Super Malaysia setakat ini, Semut Merah berada di kedudukan ke-5 liga dengan 16 mata – hanya kurang 1 mata berbanding musim lalu (kedudukan ke-6) pada fasa yang sama.
Teori wang dapat ‘beli’ kejuaraan
Secara global, sejak kelab-kelab diambil alih oleh ahli perniagaan dan jutawan, tampak seakan-akan wang membolehkan kejayaan dibeli. Menurut sebuah artikel yang diterbitkan Forbes, Mike Meehall Wood menjelaskan sejak Roman Abramovich membeli Chelsea pada 2003 dan diikuti pengambilalihan Sheikh Mansour di Manchester City, ia seperti wang dapat ‘membeli’ kejuaraan di saingan Liga Premier Inggeris (EPL).
Roman Abramovich dikatakan ‘trendsetter‘ kepada apa yang berlaku di dalam bola sepak moden. Namun ia bukanlah satu trend yang baik. Malah bagi kelab yang mempunyai impian yang melangit namun memiliki kewangan yang sempit, modul bola sepak berteraskan kewangan semata-mata hanyalah membawa kepada kemusnahan jika tersalah langkah.
Begitupun, jika kelab tersebut memiliki pengurusan kewangan yang baik, tiada masalah untuk memasang impian setinggi gunung.
Di Liga Malaysia misalnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah kelab yang memiliki struktur kewangan yang kukuh.
JDT boleh ‘membeli’ kejuaraan dengan terlebih dahulu ‘memborong’ pemain-pemain terbaik yang berada di dalam negara – seperti mana berlaku sejak musim 2013.
Ini yang dimaksudkan dengan membeli kejuaraan oleh Mike tadi. Ia merupakan sebahagian daripada strategi untuk memperkukuhkan jenama.
Namun jika penilaian dilakukan, JDT sebenarnya adalah antara kelab bola sepak di negara ini yang bijak melakukan penilaian terhadap liabiliti semasa mereka, dan mempunyai perancangan masa depan yang teratur.
Jadi, berapa jauhkah dakwaan wang dapat membeli kejuaraan di dalam bola sepak?
Leicester City dan Altach
Rasanya tidak lengkap bila bercerita mengenai ‘beli’ kejuaraan jika tidak berkongsi mengenai Leicester City yang menjuarai EPL dengan bajet kewangan pasukan yang rendah.
Menurut laporan Forbes, payroll Leicester City ketika menjuarai EPL adalah kurang daripada suku daripada apa yang dibelanjakan oleh Machester United dan Chelsea. Perkara ni disokong melalui data kewangan yang dikumpul oleh CIES Football Observatory.
Pemilik The Fox, Vichai Srivaddhanaprabha tidak menabur wang demi meningkatkan kualiti pasukan dengan memiliki pemain bintang yang mahal. Sebaliknya, mereka hanya menandatangani pemain kurang dikenali seperti Jamie Vardy yang akhirnya menjadi fenomena pada musim tersebut.
Selain itu, kita juga boleh melihat bagaimana sebuah kelab kecil dengan stadium berkapasiti 8,000 penyokong, Altach berjaya menandingi kelab-kelab besar di Austria Bundesliga pada musim 2016/17. Kelab ini pernah berada di puncak liga selepas 20 perlawanan.
Memetik laporan The Star, Pengarah Sukan Altach, Georg Zellhofer dilaporkan berkata, “Kami membayar segala bil tepat pada masanya dan kami juga tidak terlebih belanja. Kami sentiasa pastikan apa yang kami buat, kami akan buat dengan sebaiknya.”
Bagaimana kelab seperti Leicester City dan Altach berjaya dalam memastikan kejayaan kelab seiring dengan perbelanjaan kelab? Walaupun kejayaan mereka hanya sementara, sekurang-kurangnya mereka telah membuktikan walaupun dengan bajet yang rendah, sesebuah pasukan bola sepak tetap mampu bersaing. Soalnya ialah bagaimana dana itu harus diurus.
Tidak semestinya pasukan yang memiliki bajet kewangan besar dijanjikan kejuaraan jika tiada tanpa modul pengurusan kewangan yang bijak.
Pasukan bergerak tanpa bajet jelas?
Adakah pasukan bola sepak di Malaysia tiada bajet yang jelas untuk perjalanan mereka sepanjang musim? Adakah persatuan-persatuan dan kelab bola sepak di Malaysia menyandarkan bajet tahunan mereka terhadap liabiliti-liabilitu yang timbul kemudian hari?
Kekurangan kepakaran ataupun keengganan untuk mengeluarkan kos bagi melantik pakar kewangan bagi memantau dan mengendalikan kewangan pasuka adalah salah satu faktor pasukan-pasukan bertanding di Liga Malaysia seakan-akan ‘berenang’ di dalam hutang saban tahun.
Rata-rata pasukan yang mempunyai masalah kewangan tidak memiliki struktur bola sepak yang jelas Apatah lagi perancangan dan hala tuju yang mampan untuk masa hadapan.
Amat menyedihkan untuk melihat rata-rata operasi pasukan di Liga Malaysia seakan-akan seperti “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.” Itu pun jika makannya cukup sehingga ke petang.
Mengikut analisa yang telah dibuat oleh penganalisis bebas, Zuraimi Zukri, sejak 1996 sebanyak 26 dari 57 pasukan yang pernah bersaing di dua divisyen utama telah menarik diri. Ianya hampir 46% daripada jumlah keseluruhan pasukan yang pernah bersaing.
Dan antara faktor utama penarikan diri dan pembubaran pasukan adalah berpunca daripada masalah kewangan yang teruk.
Menurut perkongsian laman sesawang Club Matters, membuat bajet pasukan jangan sampai menyusahkan atau menyukarkan. ‘Keep it simple’, realistik dan libatkan orang yang betul.
Jadi, penulis merujuk kepada model yang telah ditunjukkan oleh Kerteh FC tentang bagaimana pengurusan kewangan mereka. Ya, mereka cuma kelab amatur tetapi mungkin model yang digunakan itu boleh dilaksanakan mengikut skala pasukan masing-masing.
Konsep 3P ‘The Oilers’
Kelab amatur yang berpengkalan di Terengganu, Kerteh FC ataupun digelar ‘The Oilers’ itu menerapkan konsep 3P dalam pengurusan kewangan mereka iaitu Perniagaan (Business), Pelaburan (Investment) dan Penajaan (Sponsorship).
Hampir 55% pendapatan kelab adalah daripada hasil perniagaan. Menurut perkongsian di laman Facebook Kerteh FC, ianya adalah hasil daripada manpower supply, sewaan peralatan, pembaharuan insurans dan jualan barangan kelab. Bakinya adalah daripada hasil pelaburan kelab dan juga tajaan.
Pecahan perbelanjaan Kerteh FC sepanjang tahun 2018 yang menunjukkan lebih 50% daripadanya telah digunakan untuk kos liga dan juga gaji pemain serta pegawai:
- Liga: 26.9%
- Gaji & upah: 24.9%
- Program Pembangunan: 23.4%
- Media & Promosi: 14.9%
- Lain-lain: 9.9%
Menariknya, Kerteh FC masih mencatatkan keuntungan sebanyak 20.9% bagi tahun 2018. Ya, Kerteh FC hanya kelab amatur tetapi mungkin apa yang dilakukan oleh pihak pengurusan The Oilers ini lebih profesional berbanding segelintir kelab profesional yang ada.
Namun, mereka belum ada ‘hasil daripada penyokong’ ataupun hasil melalui kutipan tiket kerana Kerteh FC masih kelab amatur.
Kerteh FC sebenarnya sudah memiliki fan base yang boleh difokus iaitu kawasan Kerteh tetapi ia satu proses yang masih jauh dan panjang.
Tiada perancangan seperti ‘Felda United & PJ City FC
Bagaimana pula dengan PKNS FC yang tiada fan base yang jelas tetapi terus kekal relevan dengan bajet yang rendah?
“Memang kita akui itu adalah masalah kelab kecil seperti PKNS FC,” ujar pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid ketika dihubungi oleh Semuanya BOLA.
Felda United dan PJ City FC adalah antara pasukan yang telah membuat perubahan untuk lebih dekat dengan penyokong. Tatkala Felda United menempatkan diri mereka di Jengka, Pahang PJ City pula dijenamakan semula untuk lebih dekat dengan masyarakat di Petaling Jaya.
Ideanya ialah bila sudah ada kumpulan penyokong, barulah akan ada sumber pendapatan tambahan kepada kelab seperti hasil jualan tiket dan kemudian mungkin hasil jualan barangan kelab.
“Perkara tersebut pernah difikirkan oleh kelab dan kami pernah berusaha ke arah itu beberapa tahun dahulu. Namun, atas sebab teknikal, kami tangguhkan dahulu perancangan.
“Kami sedang memantau perkembangan pasukan tersebut [Felda United dan PJ City] dari masa ke masa sebelum membuat sebarang perubahan kepada pasukan. Banyak pihak perlu dirujuk terutamanya pihak penaja utama kami iaitu PKNS.
“Setakat ini, kami lebih selesa dengan pendekatan sekarang dengan lebih tumpukan kepada prestasi pasukan dan aktiviti pembangunan bola sepak kami,” jelasnya panjang lebar.
Bajet PKNS FC 2019 dipotong 40%
Bercerita mengenai bajet tahun ini, Mahfizul menjelaskan kepada Semuanya BOLA, ianya kurang 40% daripada bajet musim lalu.
“Cukuplah saya nyatakan yang bajet telah dipotong sebanyak 40% daripada bajet musim 2018,” ujar Mahfizul apabila ditanyakan mengenai jumlah sebenar bajet PKNS FC pada musim 2019.
“Untuk memudahkan membuat andaian, tengok pada kedudukan liga ketika ini, kita dah boleh tahu kedudukan bajet masing-masing,” tambahnya lagi sambil menjelaskan cuma Perak yang berbelanja besar tetapi berada sedikit ke bawah dalam liga.
Untuk gaji pemain, Mahfizul menjelaskan pemain sedia ada iaitu 11 pemain yang dikekalkan telah dinaikkan gaji sebanyak 10% . Sementara pemain import pula telah ditetapkan maksimum sebanyak USD10,000. Untuk pemain-pemain yang baru menyertai musim ini, Semut Merah telah meletakkan anggaran RM15,000 sehingga RM19,000.
Ini bermakna tidak ada seorang pun pemain tempatan di PKNS FC yang berpendapatan di atas RM20,000 sebulan.
“Setakat ini, perbelanjaan masih ikut landasan, belum tercicir lagi. Kawalan telah dibuat sebelum perlesenan, jadi pihak pengurusan telah terbiasa bila bermula era perlesenan kelab,” ujarnya lagi.
Ada ‘Standard Operating Procedure’
Menurut Mahfizul pihak pengurusan PKNS FC telah menyediakan dan memiliki Standard Operating Procedure (SOP) tersendiri untuk memastikan setiap perbelanjaan berada dalam kawalan mereka – berdasarka kaedah kawalan sama seperti dalam pentadbiran PKNS itu sendiri.
“Setiap perbelanjaan kena ada Return of Investment (ROI),” ujarnya lagi sambil menyatakan semua perkara akan diaudit dan juga perlu direkod serta didokumentasikan. Menurutnya, ROI diukur melalui:
- Nilai iklan semasa
- Nilai pasaran jenama PKNS FC semasa
- Nilai aset PKNS FC semasa
Terlalu mendalam dan mungkin tidak tercapai dek akal kita untuk memahami bagaimana pengurusan kewangan di PKNS FC. Tetapi daripada sedikit perkongsian Mahfizul, kita dapat melihat tahap ketelitian mereka untuk terus kekal relevan bersaing di Liga Malaysia.
“Soal kelangsungan penglibatan kami juga bergantung kepada komitmen pentadbiran PKNS terhadap bola sepak negeri dan negara. Dan juga dana yang disuntik,” tambahnya lagi.
Penutup
Bukan semua perkara boleh dibeli dengan wang ringgit. Dengan bajet kewangan yang sederhana, setiap pasukan juga masih boleh berjaya sebagaimana yang dibuktikan oleh Leicester City di EPL.
Dan di Liga M, kita boleh merujuk bagaimana pengurusan PKNS FC mengendalikan kewangan mereka dan untuk lebih memahaminya, mungkin perlu ada usaha turun padang oleh pasukan-pasukan lain yang mahukan pengurusan kewangan yang lebih baik.
Adakah PKNS FC mampu menjadi Leicester City di Liga Malaysia? “Tak mungkin kot, selagi ada JDT,” jawab Mahfizul berseloroh.
“Sejujurnya, untuk PKNS FC menjadi juara liga, kita perlukan dana yang besar untuk dapatkan pemain berkualiti dan import yang bagus. Tetapi pencapaian Leicester City itu kita boleh jadikan rujukan walaupun liga, cabaran dan suasananya lain,” tutur Mahfizul sebelum menutup bicara bersama Semuanya BOLA.