Petaling Jaya City (PJ City) FC meletakkan sasaran untuk meraih satu kejuaraan serta menduduki lima tangga terbaik saingan Liga Super Malaysia 2020.
Seiring dengan usaha untuk merealisasikan sasaran tersebut, PJ CIty telah membawa masuk beberapa pemain berkualiti seperti Mahali Jasuli, K. Gurusamy, Christie Jayaseelan, Mohamad Amer Saidan dan Muhammad Syazwan Zaipol Bahari.
Kelab yang akan membuat penampilan kedua dalam kancah Liga Super itu mengekalkan dua pemain import dari Brazil, Washington Brandao dan pemain pertahanan, Elizeu Araujo.
Dalam pada itu menurut sumber Bernama, skuad bimbingan K. Devan itu sedang menguji dua pemain dari benua Afrika iaitu Onoriode Marshal (Nigeria) dan penyerang kelahiran Congo, Ferebory Dore bagi memantapkan jentera serangan.
“Kami akan mengadakan sesi ujian dan menilai kamampuan pemain import sebelum membuat keputusan. Selepas mendapat pengalaman berguna musim lalu, kami kini lebih bersedia,” ujar pengurus pasukan PJ City FC, J. Rajendran.
Kem PJ City FC bakal terbang ke Kemboja untuk persediaan pra-musim pada penghujung bulan ini apabila menyertai Piala Siem Reap Super Asia 2020 yang menampilkan pasukan tuan rumah, Angkor Tiger FC, Visakha FC dan kelab Indonesia, Bhayangkara FC bermula 22 hingga 27 Januari.
Liga Super 2019 menyaksikan PJ City FC menamatkan persaingan di tangga kelapan dengan 26 mata hasil lapan kemenangan, dua keputusan seri dan 12 kekalahan.
Sementara itu di pentas Piala FA pula mereka sekadar melangkah ke pusingan ketiga dan gagal melepasi peringkat kumpulan pada kempen Piala Malaysia.