‘Bernilai’ di sini bukanlah dari segi kewangan tetapi dari aspek apa yang mampu disumbangkan oleh penyerang Terengganu II, Jordan Mintah apabila dikhabarkan akan dipinjamkan ke Kuala Lumpur City (KL City).
Ini berdasarkan ciapan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang mengesahkan status Mintah.
Jordan Mintah sertai juara Piala Malaysia 2021! Difahamkan, penjaring terbanyak Liga Premier 2021 itu dilepaskan Terengganu FC II secara pinjaman ke Kuala Lumpur City FC. 🔥
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) June 20, 2022
Menariknya, KL City bakal bersaing dalam Piala AFC 2022 yang dijadulakan bermula pada Jumaat ini. Jadi, Mintah berpeluang mempamerkan kemampuannya di pentas yang lebih tinggi bersama The City Boys.
KL City diundi dalam Kumpulan H bersama Tampines Rovers (Singapura) dan PSM Makassar (Indonesia).
Dan bersandarkan rekod pada 2019, Mintah pernah beraksi bersama Kaya FC (Filipina) di AFC Cup dan meledak tiga gol ketika saingan peringkat kumpulan – hatrik ketika menewaskan Lao Toyota 5-1.
Dan selepas tiga edisi, Mintah kini kembali tetapi bersama wakil Malaysia dengan pasukan pinjaman. Itu sudah cukup buat dirinya yang dilihat ‘diperam’ Terengganu sepanjang tiga tahun berpindah ke sana sejak musim 2020.
Tiada Pasukan Liga Super Berminat Dengan ‘Baka’ Ifedayo Olusegun Dalam Jordan Mintah?
Rekodnya sebagai si pakar statistik jaringan jarang dipandang oleh barisan kejurulatihan Sang Penyu, waima sudah kerap kali beliau membuktikannya apabila bersama skuad utama dan tentunya bersama TFC II.
Adakah prestasi beliau langsung tidak menggamit perhatian pengendali Terengganu, Nafuzi Zain? Tak cukup bagus untuk Liga Super? Buktinya, empat gol, dua bantuan gol dalam enam penampilan pertamanya di Liga Super.
Menurut penganalisis bebas Liga Malaysia, Zuraimi Zukri, Mintah memiliki ‘baka’ Ifedayo Olusegun dalam dirinya yang jelas tidak dimanfaatkan Terengganu sepanjang tiga musim beliau bersama mereka.
Aksinya lebih kepada membantu skuad simpanan TFC II di Liga Premier dan memberikan bantuan jika diperlukan untuk bersama Terengganu di Liga Super. Adakah itu standard ‘pakar statistik jaringan’ ini?
Ketika itu, Zuraimi ada mengatakan yang jika berhijrah, pasukan yang sesuai buatnya adalah KL City.
Penghijrahan Mintah ke KL City adalah satu rahmat buatnya dan tentunya buat The City Boys. Pasukan itu bergelut untuk mendapatkan penyerang berkualiti dan bergantung sepenuhnya kepada Romel Morales yang ditransformasikan sebagai penyerang oleh pengendali, Bojan Hodak sejak saingan Piala Malaysia yang lalu.