Pasukan Mana Pilihan Penyokong, Kelantan FA Atau Kelantan United?

Menamatkan saingan di kedudukan ke-10 daripada 11 pasukan dalam liga divisyen kedua bukanlah satu keputusan yang baik buat pasukan Kelantan yang pernah memiliki sejarah kegemilangan tidak lama dahulu.

‘Zaman emas’ Kelantan bermula pada tahun 2010 ketika di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa di mana pasukan itu muncul juara Piala Malaysia dan menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua.

Musim berikutnya mereka menjulang trofi Liga Super buat kali pertama. Kemuncaknya pada tahun 2012, pasukan Pantai Timur itu meraih kejuaraan ‘treble’ dengan menyapu bersih kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Kredit Foto: bolasepak-kelantan.com

Ketika itu Kelantan boleh dikatakan memiliki penyokong bola sepak paling fanatik di negara ini. Dengan semangat luar biasa yang dimiliki, hampir semua perlawanan termasuk di tempat lawan penyokong Kelantan yang bertebaran di seluruh negara akan hadir ke stadium untuk menyokong pasukan.

Malah telah berlaku beberapa insiden yang tidak diingini seperti pergaduhan antara penyokong serta rusuhan sehingga mengakibatkan  pasukan itu pernah didenda bermain di stadium berkecuali oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selepas daripada itu, dari tahun ke tahun, prestasi The Red Warriors mula menurun. Berlaku konflik demi konflik termasuk melibatkan isu penajaan, perubahan pucuk pimpinan dan yang paling kritikal adalah masalah beban hutang yang tinggi sehingga timbul isu pemain tidak dibayar gaji.

Pada musim lepas, mereka tersingkir ke Liga Premier selepas menduduki tangga ke-11 daripada 12 pasukan dalam Liga Super. Musim ini pula, di bawah bimbingan ketua jurulatih Yusri Che Lah, mereka nyaris tersingkir ke divisyen liga yang lebih rendah.

Berbeza pula dengan satu lagi pasukan yang berpangkalan di Kota Bharu iaitu Kelantan United Football Club (KUFC). Juara Liga M3 musim 2019 ini adalah sebuah pasukan yang dijenamakan semula daripada pasukan yang memiliki nama kedua terpanjang di dunia.

Nama asalnya adalah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan Football Club (MPKB-BRI UBES FC) yang merekodkan 86 karakter huruf.

Pada awal musim ini, nama pasukan ini telah diubah kepada Kelantan United dan telah mendapat suntikan dana daripada kerajaan negeri Kelantan selain mendapat beberapa tajaan daripada syarikat swasta.

Namun demikian, dengan sumber kewangan yang terhad, KUFC mengamalkan konsep perbelanjaan ‘ukur baju di badan sendiri’ dengan menawarkan gaji mengikut kemampuan kepada para pemainnya.

Dengan aksi konsisten sepanjang musim, sokongan rakyat Kelantan akhirnya dilihat teralih kepada pasukan yang dibimbing oleh bekas pemain dan jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail itu.

Malah dua orang pemain legenda Kelantan, iaitu Mohd Badhri Mohd Radzi (Piya) dan Mohd Daudsu Jamaluddin turut bermain untuk pasukan tersebut. Akhirnya KUFC menjuarai Liga M3 sekaligus layak ke saingan Liga Premier untuk musim 2020.

Ini bermakna terdapat dua pasukan dari Kelantan yang akan bersaing dalam liga yang sama pada musim depan. Oleh itu, pasukan manakah yang akan menjadi pilihan penyokong?

Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Promosi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Ahmad Muzakkir Hamid yang ditemubual oleh Berita Harian menjelaskan, tidak timbul perbandingan kerana pihaknya sedar penyokong cukup sayangkan kedua-dua pasukan.

“Kelantan memiliki penyokong yang unik. Kalau kita lihat, walaupun prestasi pasukan kita merosot, jumlah kehadiran penyokong masih memberangsangkan.

“Saya tidak nampak ada perbandingan kedua-dua pasukan kerana semuanya rakyat Kelantan sayang,” katanya lagi.

KAFA kemudiannya cuba untuk menarik sokongan dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah sebuah motosikal Harley Davidson bagi pembeli pas bermusim.

Persoalannya kini, benarkah kaedah itu benar-benar mampu menarik lebih ramai penyokong ke stadium dan adakah itu yang penyokong mahukan daripada pengurusan sebuah pasukan?

Timbul beberapa cadangan dari pihak tertentu yang menyarankan supaya dua pasukan ini digabungkan agar dapat memudahkan rakyat Kelantan memberikan sokongan kepada satu pasukan sahaja.

Namun demikian, ianya pasti tidak mudah memandangkan KAFA sendiri mempunyai bebanan hutang yang tinggi dan tentunya pihak pengurusan Kelantan United tidak mahu terjerumus ke dalam masalah itu jika mereka ‘disatukan’. Belum lagi mengambil kira soal politik kepartian yang mungkin menjadi salah satu faktor sampingan.

Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah berpendapat, dua wakil daripada Kelantan dalam Liga Premier musim hadapan mampu untuk menaikkan imej bola sepak bagi negeri tersebut khususnya kepada pemain muda yang berpeluang untuk bermain di peringkat tinggi.

“Saya berharap kedua-dua pasukan tidak menjadi musuh yang tidak baik, pada pandangan saya ia cukup berguna kepada bola sepak Kelantan untuk menaikkan semula imej bola sepak negeri ini,” ujar Yusri seperti yang dilaporkan Bernama tempoh hari.

Zaman sudah berubah dan tentunya penyokong bola sepak juga turut berubah. Penyokong pada hari ini tidak akan ‘buta-buta’ menyokong melainkan mereka yakin dengan pengurusan sesebuah pasukan.

Segala skrip kesilapan pada masa lalu usahlah biarkan ia berulang kembali. Dengan sumber kewangan yang terhad dan menanggung bebanan hutang lapuk yang belum diselesaikan, pasukan Kelantan tidak perlu terlalu ghairah mengejar untuk memenuhkan kuota empat pemain import.

Mungkin sekadar satu ada dua pemain sahaja sudah mencukupi dan pastikan pemain import itu ditawarkan dengan gaji siling mengikut kemampuan sebenar pasukan.

Penyokong bukan datang ke stadium untuk melihat pemain import yang dibayar dengan gaji yang mahal tetapi akhirnya sebahagian daripada mereka gagal beraksi dengan baik dan tidak memenuhi jangkaan.

Apabila disingkirkan di pertengahan musim, sejumlah wang yang besar terpaksa dikeluarkan untuk membayar pampasan dan menjejaskan bajet perbelanjaan pasukan yang akhirnya menyebabkan pihak penguruan tidak mampu membayar gaji pemain lain.

Pemain yang mengalami masalah lewat menerima gaji tidak akan bermain dengan sepenuh hati di atas padang dan tentunya akan memberi kesan kepada prestasi dan komitmennya dalam setiap perlawanan.

Hiburkanlah penyokong yang hadir ke stadium dengan menyediakan sebuah pasukan yang bersatu hati sekalipun tanpa pemain import. Kerahlah 11 pemain yang beraksi di atas padang untuk mempamerkan corak pemainan menarik dan memberikan sepenuh komitmen.

Kesimpulannya, untuk meraih sokongan, uruskanlah pasukan dengan semangat profesionalisme dan buang segala pendekatan lapuk yang membebankan pasukan. Penyokong sejati tidak hanya memandang kepada keputusan perlawanan, tetapi mereka mahu pengurusan sebuah pasukan yang baik, cekap dan berintegriti.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN