Piala Sumbangsih: Wajar Atau Tidak Selangor Tarik Diri?

Persoalan kini timbul jika Selangor wajar atau tidak menarik diri daripada menyertai saingan Piala Sumbangsih yang akan bermula tidak lama lagi selaku aksi pembukaan Liga Super musim 2024/2025.

Penarikan diri ini pastinya kerana mereka mempunyai sebab kukuh atas alasan pertama, ketiadaan Faisal Halim yang kini sedang bertarung nyawa di hospital kerana disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali.

Ianya jelas menggemparkan dunia bola sepak tempatan, kerana semua mengetahui Faisal merupakan salah seorang pemain bintang sejak beberapa tahun ini buat Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Simbahan asid daripada dua penjenayah itu menyebabkan Faisal terpaksa menerima pembedahan dan dijangka akan berehat panjang daripada dunia bola sepak.

Lebih menyayat hati, ada kemungkinan pemain kelahiran Pulau Pinang itu tidak lagi dapat bermain bola kerana kesan daripada simbahan asid tersebut.

Jelas, peristiwa yang menimpa Akhyar Rashid sebelum ini bersama tragedi buat Faisal merupakan detik hitam buat bola sepak tempatan dan akan terus menjadi sebutan berpanjangan.

Melihat kepada aksi yang akan berlangsung pada Jumaat ini, Selangor dilaporkan tidak akan menarik diri kerana Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan mereka tidak mendapat sebarang notis penundaan daripada kedua pasukan terlibat.

Tetapi, laporan daripada wartawan Astro Arena iaitu Fina Nasrom turut melaporkan pengurusan The Red Giants telah pun bertemu Pengerusi MFL, Datuk Ghani Hassan untuk membincangkan penundaan perlawanan tersebut.

Persoalannya, adakah wajar untuk Selangor menarik diri daripada kejohanan tersebut atau kekal sahaja bersaing menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Atau, mengikut perkembangan semasa kini perlawanan tersebut hanya perlu ditunda sahaja untuk tarikh baharu sehingga segalanya tampil tenang.

Di media sosial, ada segelintir peminat menyatakan supaya perlawanan tersebut dibatalkan sahaja dengan Selangor menarik diri demi tanda solidariti mereka kepada bintang tersebut.

Pandangan sedemikian tidak salah serta ada logiknya tersendiri kerana jangkaan mental rakan sepasukan Faisal sendiri pasti ada yang trauma atau hilang semangat kerana memikirkan pemain tersebut di hospital.

Hilang tiga mata serta peluang meraih piala pertama dianggap lebih bermaruah buat Selangor dalam kalangan sesetengah penyokong kerana tanda solidariti atas sifat kemanusiaan lebih tinggi kini.

Namun, tak kurang yang menganggap perlawanan tersebut perlu diteruskan kerana ia turut membawa perjuangan Faisal yang sejak beberapa hari lalu bersemangat untuk menghadapi aksi sulung Selangor.

Apatah lagi, Faisal antara yang memberi komitmen cukup tinggi buat pasukan tersebut dalam sesi latihan serta beberapa perlawanan pramusim untuk cuba membantu Selangor meraih keputusan positif musim 2024/2025.

Saat Faisal berjuang di hospital, pandangan sesetengah menganggap adalah lebih baik rakan sepasukannya turut memperjuangkan nama Faisal pada aksi tersebut dengan cuba menghadirkan sesuatu positif.

Bagaimana pandangan penulis?

Pada pandangan penulis, perlawanan tersebut tidak perlu dibatalkan atau diteruskan pada Jumaat ini dengan ia ditunda pada tarikh baharu sehingga kemelut melanda ini kembali tenang seketika.

Apapun, semoga Faisal kembali sihat serta segala isu yang berlaku dapat diselesaikan supaya apa menimpa beliau tidak diteruskan kepada pemain-pemain lain.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN