Nampaknya kita akan menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih yang ‘diceraikan’ daripada saingan liga selepas beberapa musim ia ‘dikacukkan’ sebagai pembuka tirai dan perlawanan pertama Liga Super.
Malaysian Football League (MFL) menerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Stuart Ramalingam baru sahaja membentangkan kalender Liga Malaysia (Liga M) 2022 secara maya kepada semua pihak media, petang tadi.
Ia sekaligus menandakan Liga M bakal membuka tirainya tidak lama lagi dengan minggu pertama Liga Super bermula pada 4 dan 5 Mac depan, sementara untuk Liga Premier, ia akan berlangsung 5 dan 7 Mac depan.
Berikut adalah lima perkara tentang Liga Malaysia 2022 yang menarik perhatian.
Piala Sumbangsih ‘diceraikan’ daripada aksi liga
Akhirnya selepas beberapa musim perdebatan tentang adakah relevan aksi Sumbangsih dan aksi pertama liga ‘dikacukkan’, MFL memisahkan kedua-duanya. Perlawanan Sumbangsih yang akan menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City FC akan dilangsungkan pada 26 Februari, seminggu sebelum Liga Super bermula.
Tiada mata diraih pasukan seperti sebelum ini menerusi aksi Sumbangsih menjadikannya lebih ekslusif.
Piala FA kembali dengan tiada aksi timbal balik
Dua tahun berturut-turut saingan Piala FA dibatalkan akibat pandemik Covid-19 dan penjadualan liga yang tidak dapat merealisasikannya. Piala Malaysia menjadi taruhan ‘tiket’ untuk pasukan yang mahu ke saingan Asia.
“Piala FA akan kembali dengan format lebih singkat bagi membantu beri ruang buat aksi skuad kebangsaan, kejohanan Asia dan tempoh kuarantin. Jika ada perubahan tentang peraturan dan kejohanan tersebut, kita akan merombaknya mengikut kesesuaian,” jelas Stuart Ramalingam tentang format Piala FA edisi 2022 nanti.
MFL pendekkan saingan Piala FA, Piala Sumbangsih tiada kena-mengena dengan Liga Super | Stadium Astro https://t.co/01dV4nANRT
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) January 12, 2022
Piala FA kembali sebagai taruhan ke kejohanan AFC Cup
Dengan kembalinya saingan Piala FA, Stuart Ramalingam memaklumkan yang salah satu slot untuk ke saingan AFC Cup akan menjadi milik juara Piala FA. Sebelum ini, di edisi 2021, Kedah dan Terengganu menjadi wakil menerusi kedudukan terakhir Liga Super iaitu kedudukan kedua dan ketiga liga – namun, ia dibatalkan.
Untuk edisi 2022, KL City yang menjuarai Piala Malaysia mearih tiket aksi di AFC Cup bersama naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC. “Ia akan kembali kepada format asalnya selepas dua tahun dibatalkan,” ujarnya.
The Super League will be held from March 4 to Sept 17, while the Premier League will start from March 5 to Sept 3. The champions of the league will qualify for the AFC Champions League. Runners-up will go to the AFC Cup.
The FA Cup will return after two years.
— T. Avineshwaran (@avineshW90) January 12, 2022
Liga akan berjalan ketika saingan Asia berlangsung
Stuart Ramalingam menjelaskan saingan AFC Champions League (ACL) dan AFC Cup tidak akan menyebabkan liga terhenti. “Usaha daripada MFL tahun ini adalah untuk memastikan apabila ada ACL dan AFC Cup, liga tidak berhenti. Itu menjadi salah satu penambahbaikkan bagi memastikan aksi liga kekal berjalan,” tegasnya lanjut.
Pertimbangan yang turut diambil kira adalah kaedah penganjuran kejohanan Asia itu dan tempoh kuarantin.
Tiga pilihan waktu sepak mula perlawanan liga
MFL masih belum menetapkan waktu sepak mula perlawanan untuk Liga Super dan Liga Premier. Terdapat tiga pilihan waktu sepak mula yang bermain dalam fikiran MFL iaitu 7.30 malam, 8.15 malam dan 9.00 malam.
Begitupun, waktu 7.30 malam hanya pilihan untuk aksi di Borneo. Jadi untuk aksi di Semenanjung, perlawanan sama ada berlangsung dalam dua waktu lain itu. “Ini peluang [perubahan waktu] untuk pasukan meraih dana menerusi aktiviti yang boleh dijalankan di stadium, sebelum dan selepas perlawanan berlangsung,” jelasnya.
Penetapan waktu sepak mula setiap perlawanan akan dimaklumkan semula oleh pihak MFL pada 1 Februari.