Paul Scholes Persoal Kualiti Dan Kemampuan 3 Bintang Man Utd Ini

Legenda Manchester United, Paul Scholes secara terang-terangan telah mempertikaikan tentang kualiti tiga pemain dari skuad utama Red Devils pada ketika ini.

Beliau bahkan turut mempersoalkan adakah ketiga-tiga pemain itu layak atau tidak untuk terus berada di Old Trafford berdasarkan kemampuan yang mereka miliki.

Red Devils kini sedang bergelut dengan masalah prestasi dan turut mempunyai masalah ketidakharmonian dalam bilik persalinan mereka.

Legenda berusia 47 tahun itu tampil dan mendedahkan bahawa beliau merasakan ada racun dalam kalangan pemain.

Manchester United boleh dikatakan sudah agak lama memecat Ole Gunnar Solskjaer, namun sehingga kini persembahan dan keputusan yang dicatatkan masih belum menunjukkan peningkatan yang baik.

Tahun 2022 mereka bermula dengan agak mengecewakan selepas skuad kendalian Ralf Rangnick itu mencatatkan kekalahan 1-0 di tangan Wolverhampton Wanderers di Old Trafford.

Ia merupakan kekalahan keenam mereka sepanjang musim ini, namun ia baru kekalahan pertama Man Utd di bawah kendalian Ralf Rangnick.

Kekalahan itu menyebabkan Man Utd berada di kedudukan ketujuh dalam carta saingan Premier League, dengan mereka hanya mengumpul 31 mata sahaja dari 19 perlawanan.

Selepas kekalahan tersebut, tular pula berita yang mendakwa bilik persalinan United semakin huru-hara dengan 17 pemain dilaporkan tidak gembira dan mahu meninggalkan Old Trafford.

Cristiano Ronaldo sendiri turut dilaporkan sudah berunding dengan ejen beliau, kerana mahu mempertimbangkan untuk meninggalkan kelab.

Ketika bercakap kepada pemilik saluran YouTube, Webby and O’Neill, Scholes menyatakan bahawa:

“Pihak kelab baru merasakan mereka dalam keadaan huru-hara, pemain, staff dan pengurus. Siapa yang mahu datang kepada kelab ini? Ia rasa benar-benar dalam keadaan huru-hara. Ia juga rasa seperti racun.”

Beliau kemudiannya memilih tiga pemain Manchester United yang mempunyai pengalaman luas, dan membandingkan kualiti mereka dengan pemain lain:

“Ia sudah sampai pada satu titik yang mana kamu fikir, ‘Adakah pemain ini semua sudah cukup bagus?’ kita tahu (Cristiano) Ronaldo, (Paul) Pogba, (Raphael) Varane, (Nemanja) Matic ada pengalaman yang sangat luar dan menang banyak Piala, tapi pemain lain dalam skuad masih belum membuktikan diri mereka cukup bagus untuk menang apa-apa.”

Bercakap tentang Harry Maguire, Marcus Rashford dan Victor Lindelof, Scholes menyatakan bahawa:

“Segelintir dari pemain ini sudah dapat banyak minit permainan sekarang. Marcus Rashford, dia ada banyak minit permainan, adakah kita semua akan mampu untuk lihat pemain ini sampai ke tahap terbaik dia? Adakah mereka semua sudah cukup bagus untuk menang Piala? (Harry) Maguire, adakah dia cukup bagus? (Victor) Lindelof, adakah dia cukup bagus?”

Beliau kemudiannya menambah lagi bahawa:

“Kita sentiasa bercakap tentang bagaimana bagusnya mereka tapi mereka gagal untuk berikan apa yang sepatutnya mereka berikan di atas padang.”

Manchester United dalam keadaan sangat huru-hara

Maguire tidak dinafikan lagi kini dianggap sebagai pemain centre-back paling teruk di benua Eropah, selepas beliau melakukan begitu banyak kesilapan yang memberi masalah kepada gawang gol United.

Lindelof juga tidak kurang juga sering dikritik oleh para peminat kerana kerap melakukan kesilapan, namun beliau masih lebih bagus berbanding Maguire.

Rashford sementara itu bergelut dengan masalah kecederaan pada awal musim baru-baru ini, dengan beliau sehingga hari ini masih gagal untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya.

Pada ketika ini, Rashford sudah mengharungi dua bulan aksi tanpa menjaringkan sebarang gol walau beliau kerap juga diturunkan untuk beraksi.

Manchester United bergelut dengan masalah prestasi dan lebih memburukkan keadaan lagi, kebanyakan pemain mereka tidak berada di tahap persembahan terbaik masing-masing.

Masalah pengurusan juga boleh menjadi punca kemerosotan prestasi Red Devils dan jelas sekali mereka memerlukan masa untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada.

Lebih parah lagi, bilik persalinan mereka kini sangat tidak harmoni dengan beberapa pemain sudah mendedahkan keinginan masing-masing untuk meninggalkan kelab.

Ralf Rangnick sudah terbukti merupakan pengurus yang sangat berkualiti dan mempunyai philosophy serta turut dianggap sebagai pakar taktikal.

Dengan keadaan skuad United yang sangat bergelut pada ketika ini, jelas sekali pengurus dari Jerman itu memerlukan masa untuk menyelamatkan keadaan di Old Trafford.

Leave a Reply