Tahun lalu Toronto dikecewakan di hadapan penyokong sendiri melalui sepakan penalti. Toronto ditewaskan Seattle Sounders dalam perlawanan akhir Piala MLS 2016.
Tahun ini, skrip hampir sama berulang apabila mereka dipertemukan dalam perlawanan akhir Piala MLS 2017. Malah, sekali lagi mereka beraksi di laman sendiri di Toronto.
Jozy Altidore hero Toronto
Pada minit ke-67, Jozy Altidore menjaringkan gol pendahuluan buat Toronto. Sebelum ini mereka terikat 0-0 pada separuh masa.
Beliau berjaya memecahkan benteng pertahanan Sounders dengan gerakan yang mengelirukan setelah menerima hantaran jauh dari pemain tengah Toronto.
Victor Vazquez menambah gol Toronto pada minit kecederaan bagi mengesahkan kejuaraan MLS Cup 2017 ini. Beliau menyambar bola muntah selepas bola terkena palang gol, dan tidak mensia-siakan peluang keemasan tersebut.
Jozy Altidore dianugerahkan sebagai penerima anugerah ‘Most Valuable Player’ bagi perlawanan akhir ini.
Treble buat Toronto
Musim ini, Toronto telah menyapu bersih semua trofi yang dipertandingkan. Sebelum perlawanan akhir ini, Toronto telah menjuarai MLS Supporters Shield selepas mengutip mata tertinggi.
Selain itu, dalam saingan Canadian Championship, Toronto turut memenanginya dengan menewaskan Montreal Impact.
Kemenangan MLS Cup tadi melengkapkan musim yang amat bermakna buat mereka. Namun begitu, mereka tidak dapat beraksi dalam saingan CONCACAF Champions League musim 2019.
Ini berikutan peraturan ditetapkan hanya pasukan MLS di Amerika Syarikat sahaja layak untuk beraksi dalam kejohanan itu. Pengganti mereka akan ditentukan oleh pengurusan MLS selepas penilaian dibuat.
Difahamkan penilaian itu termasuk meneliti pasukan dari Amerika Syrikat mana yang lebih berhak beraksi untuk CONCACAF Champions League 2019. Antara ukuran penilaian itu ialah prestasi kelab bagi musim 2017 dan 2018.
Apa-apa pun, tahniah buat Toronto!