Quantcast

KAJIAN & FAKTA

5 Perkara Yang Dapat Disimpulkan Daripada Kekalahan Chelsea Keatas West Ham United

Kekalahan Chelsea ketika berkunjung ke West Ham semakin menyukarkan harapan skuad The Blues itu untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris bagi musim 2017/18.

Skuad bimbingan Antoino Conte itu dikejutkan West Ham 1-0 hasil jaringan tunggal Marko Arnautovic pada perlawanan ke-16 liga semalam.

Gol tunggal Arnautovic yang berjaya dihasilkan pada awal minit perlawanan itu sekaligus memastikan kemenangan pertama David Moyes bersama pasukan sejak mengambil alih secara rasmi dari Slaven Bilic awal November lalu.

Berikut adalah 5 perkara yang dapat disimpulkan daripada kekalahan Chelsea keatas West Ham semalam.

1. Kegagalan dalam usaha merapatkan kedudukan dan peluang rebut kejuaraan hampir tertutup

Kekalahan keatas West Ham semalam meletakkan The Blues 11 mata dibelakang pendahulu Manchester City dan 3 mata di belakang pasukan tangga kedua, Manchester United. Kedua-dua pasukan masih belum beraksi pada perlawanan ke-16 dan akan bertembung sesama sendiri pagi nanti.

Sekaligus meletakkan The Blues semakin tertekan untuk mencabar kedudukan dua pasukan teratas itu.

Sebelum perlawanan, Antonio Conte dan pemainnya semestinya mempunyai misi penting untuk merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga memandangkan Manchester City bakal menghadapi tugas berat bertemu Manchester United selepas ini.

Kesempatan itu harus dimanfaatkan sebaiknya The Blues, malangnya tanpa diduga mereka gagal pada perlawanan tersebut walaupun lebih menguasai permainan dan juga mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menghasilkan jaringan.

Keadaan tersebut membuatkan Conte dan anak buahnya terpaksa berputih mata dan pengendali dari Itali itu sendiri merasakan peluang buat skuad bimbingannya sudah tertutup untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.

2. Kekalahan ke-4 dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini

Kekalahan Chelsea keatas West Ham merupakan kekalahan ke-4 mereka dalam saingan liga musim ini.

Musim lepas, Chelsea hanya tewas 5 perlawanan dalam 38 perlawanan liga yang mereka hadapi dan  ianya sekaligus dinobatkan selaku juara kejohanan dengan mengumpul 93 mata.

Menyandang status selaku juara bertahan membuatkan skuad The Blues menghadapi ujian gentir bagi mempertahanan kejuaraan musim ini.

Chelsea kini tewas ketika bertemu Burnley, Manchester City, Crystal Palace dan West Ham United.

LONDON, ENGLAND – DECEMBER 09: West Ham United’s Marko Arnautovic scores his side’s first goal during the Premier League match between West Ham United and Chelsea at London Stadium on December 9, 2017 in London, England. (Photo by Rob Newell – CameraSport via Getty Images)

3.Tewas buat kali ke-3 ditangan pasukan bukan pilihan

Hal yang paling mengejutkan semua pihak apabila Chelsea gagal meraih peluang bertemu pasukan seperti Burnley, Crystal Palace dan West Ham.

Chelsea tampil dengan beberapa muka baru bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi cabaran musim 2017/18 antaranya  Alvaro Morata, Tiemoue Bakayoko, Danny Drinkwater, Antonio Rudiger, Davide Zappacosta dan Willy Caballero.

Namun kehadiran mereka masih gagal membantu skuad itu untuk menperoleh 3 mata berharga menghadapi pasukan-pasukan “bukan pilihan” dalam saingan liga.

Chelsea terpaksa akur selepas tewas pada minggu pertama kempen Liga Perdana Inggeris(EPL) keatas Burnley. Kemenangan Burnley keatas Chelsea juga merupakan kemenangan pertama mereka keatas kelab London itu sejak 1971.

Antonio Conte terus mengigit jari apabila skuadnya tewas keatas Crystal Palace dengan keputusan 2-1 di Selhurst Park. Sebelum itu, Chelsea turut tewas keatas Manchester City di halaman sendiri. Kekalahan keatas Crystal Palace meletakkan skuad itu menghadapi kekalahan kedua berturut-turut sejak April 2016.

4. Bahagian serangan masih tumpul 

Chelsea kini sedang menghadapi situasi dibahagian serangan yang diketuai Alvaro Morata dan Eden Hazard. Meskipun Morata dan Hazard dilihat berbisa di jentera serangan dengan 14 jaringan berjaya dihasilkan dari kedua pemain ini, namun situasi mereka berdua masih merisaukan semua pihak jika mereka mengalami sebarang kecederaan.

Masalah kecederaan bakal menjadi ancaman besar yang akan memusnahkan kempen Chelsea untuk musim ini. Sepertinya Chelsea harus mencari penyerang baru yang mampu berada ditempat Alvaro Morata jika beliau mengalami kecederaan.

Meskipun adanya Michy Batshuayi yang mampu mengalas tugas tersebut, Antonio Conte seharusnya membawa masuk seorang lagi penyerang yang boleh digandingkan bersama bagi mempertajamkan barisan hadapan pasukan.

Dalam 16 perlawanan musim ini, Chelsea hanya mencatatkan 28 jaringan dan Alvaro Morata merupakan penjaring gol terbanyak pasukan dengan 9 gol  berjaya dihasilkannya setakat ini.

5. Memberikan peluang buat pasukan lawan memecahkan ‘sesuatu’

Hal ini dibuktikan apabila Chelsea menjadi pasukan yang membantu beberapa pasukan mencipta ‘sesuatu’ seperti jaringan dan kemenangan pertama yang dicipta Crystal Palace adalah ketika bertemu Chelsea pada 14 Oktober yang lalu.

Lebih menghampakan apabila jaringan pertama Crystal Palace adalah menerusi jaringan sendiri dari Cesar Azpilicueta. Perlawanan yang secara tidak langsung merupakan kemenangan pertama buat Roy Hodgson selaku pengurus Palace.

Seperti yang dinyatakan pada mula tadi, perlawanan semalam juga adalah merupakan kemenangan pertama dikecapi David Moyes selepas beliau menggantikan Slaven Bilic di Stadium London.