Kuala Lumpur City ternyata berada pada kelasnya yang tersendiri selepas berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia dengan menumpaskan Selangor 3-1 secara agregat selepas menang 1-0 adalam aksi suku akhir kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Gol tunggal penjaring terbanyak kejohanan Romel Morales sudah cukup untuk memadam impian The Red Giants yang memburu koleksi kejuaraan ke-34 bagi kejohanan tertua Asia ini.
Selangor walaupun bertandang di gelanggang lawan mendapat suntikan semangat dari penyokongnya yang membajiri stadium dan terlebih dahulu mengancam kubu pasukan tuan rumah seawal minit ketiga menerusi Hein Htet Aung yang menerima lorongan Ifedayo, namun percubaan pemain import Myanmar itu terkena tiang.
Selangor mendapat satu lagi peluang pada minit ke-15 selepas Alif Haikal berjaya mengatasi beberapa pemain pertahanan dan melepaskan rembatan dalam kotak penalti, tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Kevin Mendoza.
Peluang terbaik untuk KL City melebarkan kelebihannya hadir pada minit ke-35 di mana percubaan Paulo Josue gagal menepati sasaran dan Romel Morales yang berada pada situasi satu lawan satu pula sempat dipintas oleh Ashmawi Yakin.
Akhirnya sorakan penyokong bergema di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur apabila KL City berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-49 menerusi jaringan Romel Morales yang membuat satu tolakan mudah dari jarak dekat hasil dari tandukan Paulo Josue.
51' GOL | KL City kini berada di depan hasil gol ke-10 Romel Morales dalam kempen TM Piala Malaysia 2021!@KLCityFootball 1-0 @selangorfc #TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/KtDUyV5W8a
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 18, 2021
Ia juga merupakan gol ke-10 penyerang import Columbia itu dalam kempen Piala Malaysia untuk meletakkannya selaku penjaring terbanyak kejohanan setakat ini.
Kredit juga buat Ryan Lambert yang bijak melepasi kawalan pertahanan Selangor sebelum berjaya membuat pusingan dan hantaran lintang kepada kapten pasukannya.
Ketika perlawanan berbaki 7 minit, KL City nyaris mendapatkan gol keduanya hasil dari serangan balas pantas tetapi penjaga gol Khairul Azhan cemerlang menafikan percubaan Fakhrul Aiman dalam situasi satu lawan satu dan rembatan susulan Hadin Azman pula agak lemah dan tepat ke dakapan penjaga gol Selangor itu.
Tambahan masa empat minit ternyata tidak cukup buat Selangor yang memerlukan tiga gol untuk ke separuh akhir dan KL City mengesahkan kemaraan mereka ke separuh akhir dengan keputusan akhir 1-0.