Piala Malaysia: Ketangkasan Shahril ‘Superman’ Sa’ari Tak Cukup Bantu Kedah Atasi JDT

Shahril sa'ari Kedah JDT piala Malaysia 2021

Walaupun Shahril Sa’ari cemerlang menafikan lebih setengah dozen peluang Johor Darul Ta’zim (JDT), namun, beliau gagal membantu Kedah Darul Aman FC apabila tewas 0-1 dalam suku akhir kedua, Piala Malaysia 2021.

JDT mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah dengan agregat 1-0 hasil kemenangan yang mereka raih di Stadium Sultan Ibrahim, menerusi jaringan pemain meningkat naik, Arif Aiman Hanapi.

Guilherme de Paula diberikan tugasan berat apabila turun sebagai penggempur utama menggantikan Bergson da Silva. Beliau dibantu oleh Leandro Velazquez, Gonzalo Cabrera dan Arif Aiman yang bergerak di belakang, kiri dan kanannya. Walaupun berlaku perubahan pemain, JDT meneruskan penguasaan ‘kisah’ di Darul Aman.

De Paula mensia-siakan peluang awal tuan rumah dengan percubaan meliar hasil gerakan pantas serangan yang digerakan oleh Arif Aiman dan Nazmi Faiz di minit ke-9. Sebelum itu, penjaga gol Kedah, Shahril Sa’ari sudah diuji pada minit ke-3 menerusi sepakan percuma Leandro, namun beliau cemerlang menafikannya.

JDT mempamerkan intensiti yang tinggi apabila dilihat turut menekan pelawat di kawasan defensive third lawan. Harimau Selatan langsung tidak memberi ruang kepada lawan untuk selesa memegang bola.

Ini kerana JDT mahukan jaringan awal selepas perlawanan pertama sebelum ini berkesudahan terikat tanpa jaringan. Mereka tahu pelawat tidak terlalu ampuh di depan membolehkan mereka merajai aksi di padang.

Kedah cuba bermain counter attack dengan menanti lawan membuat kesilapan, namun kombinasi di jentera serangan yang digerakkan Kpah Sherman, Kipre Tchetche, Syazwan Zainon dan Fayadh Zulkifli gagal memecah blok pertahanan lawan. Kipre Tchetche dilihat mengambil alih posisi Baddrol Bakhtiar yang tidak beraksi.

Tuan rumah yang dibantu sorakan padu penyokong tampak sukar untuk meledak jaringan gol apabila Shahril Sa’ari mempamerkan ketangkasannya di gawang. Dua kali berturut-turut cubaan JDT berjaya dinafikannya.

Di minit ke-32, beliau tampil awal menangkis cubaan hantaran lintang oleh Arif Aiman dan selepas itu, sekali lagi cemerlang menepis rembatan half volley Gonzalo Cabrera di minit ke-33 berpunca hantaran lintang Arif Aiman.

Akhirnya, JDT lega pada minit ke-40. Arif Aiman berhasil mencipta jaringan pembukaan apabila dibiarkan lolos ke dalam kotak penalti pelawat tidak dikawal untuk menerima hantaran lolos Leandro Velazquez sebelum membuat rembatan deras jarak dekat menewaskan Shahril Sa’ari yang sudah cemerlang setakat ini.

Sebaik babak kedua bermula, JDT dan Arif Aiman sudah mula mengasak pelawat. Namun, Shahril Sa’ari masih menjadi tembok kebal buat Kedah sebagaimana aksi di babak pertama dalam usaha menafikan peluang buay JDT. Dua kali Arif Aiman mencipta rembatan ke gawang dalam 10 minit pertama babak kedua bermula.

Minit ke-61, giliran Leandro Velazquez pula dikecewakan Shahril Sa’ari apabila rembatan daripada sepakan percumanya berjaya ditepis keluar. Lebih kurang empat minit sebelum itu, Kedah mencipta percubaan pertama mereka ke gawang yang dikawal Farizal Marlias menerusi sepakan percuma yang diambil Fadzrul Danel.

Kedah masih melalui masalah yang sama sebagaimana aksi pertama sebelum ini iaitu tiada kesinambungan gerakan daripada kawasan middle third ke final third mereka. Kehadiran Kipre Tchetche masih tidak membantu mereka. Dan minit ke-75, Baddrol Bakhtiar dimasukkan oleh Aidil Sharin bagi menggantikan Kipre Tchetche.

Tuan rumah memiliki beberapa peluang menerusi sepakan percuma hampir dengan kotak penalti pelawat di penghujung aksi, namun ia gagal menjelmakan jaringan tambahan buat mereka seterusnya menyaksikan perlawanan berkesudahan dengan keputusan JDT menang 1-0 serta mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN