Perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia malam ini dijangka Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menghadapi masalah besar untuk layak ke separuh akhir kerana Kelantan dilihat sukar untuk menyekat kemaraan mereka.
Ada beberapa faktor yang mempengaruhi seperti prestasi semasa Kelantan, stadium keramat JDT dan tahap kecergasan pemain.
Bagi prestasi pasukan, The Red Warriors tidak berada ditahap terbaik dan dari segi corak permainan mereka juga kelihatan sedikit berbeza berbanding ketika berada di prestasi kemuncak semasa fasa awal sehingga pertengahan pusingan kedua Liga Premier.
Dan boleh dilihat lima perlawanan terakhir ketika aksi liga hanya mampu mencatat satu kemenangan, dua seri dan dua kekalahan.
Qatar 2022: Mampukah England Akhirnya ‘Bawa Pulang’ Bola Sepak?
Prestasi pasukan ini benar-benar merudum di hujung persaingan liga sehingga menyebabkan mereka terlepas kejuaran liga yang hampir pasti menjadi milik mereka ketika itu.
Momentum ini di bawa ke aksi Piala Malaysia ketika menentang Sarawak United di pusingan 16 terakhir namun mereka bernasib baik kerana menang 1-0 ketika di Kuching untuk mencatat kemenangan secara agregat 2-1.
Sistem pertahanan Kelantan juga kelihatan sedikit longgar dan mudah ditembusi menerusi gerakan pantas dari kiri dan kanan sehingga menyebabkan ia sukar untuk menyekat pemain lawan dari menjaringkan gol.
Jika mereka tidak atasi masalah ini, pemain Kelantan akan hadapi perlawanan yang sukar malam ini kerana JDT sedang berada di prestasi terbaik mereka.
Dari segi kecergasan pemain pula, ketika aksi pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, jelas kelihatan perbezaan begitu ketara antara pemain Kelantan dan JDT.
15 minit awal, Kelantan mampu memberi tekanan dan mengikut rentak lawan biar pun intensiti permainan adalah tinggi.
Namun selepas itu sehingga penghujung pemainan, pemain mula letih dan mula melakukan beberapa kesilapan mudah.
Biar pun JDT bermain dengan 10 pemain, Kelantan masih sukar untuk mengambi kesempatan dan peluang sekurang-kurang mendapatkan satu gol.
Sebaliknya beberapa pemain mula bermain secara emosi sehingga hampir menimbulkan pergaduhan dalam perlawanan tersebut.
Lagi satu faktor adalah skuad bimbingan Rezal Zambery Yahya akan bermain di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang boleh dikatakan gelanggang keramat Harimau Selatan. Setakat musim ini, JDT belum pernah tewas lagi di stadium tersebut dalam saingan Liga Malaysia.
Namun begitu, dalam falsafah bola sepak, selagi wisel belum ditiupkan menandakan permainan sudah tamat, masih ada peluang untuk pasukan tersebut mampu melakukan sesuatu di luar jangkaan.
Dari segi kejutan, banyak pasukan sudah membuktikan kalah di perlawanan pertama namun bangkit di perlawanan kedua dengan satu gaya permainan yang berbeza sehingga lawan terpaku melihatnya.
Persoalannya, mampukah Kelantan tampil dengan satu permainan berbeza untuk mencipta sesuatu yang berlainan dalam perlawanan ini?
Skuad bimbingan Rezal perlu mendapatkan jaringan di separuh masa pertama sambil berharap mereka tidak dibolosi. Jika ini terjadi, Kelantan ada peluang sekurang-kurangnya memenangi perlawanan untuk leburkan rekod JDT di SSI.