Kedah Darul Aman terus gagal mempamerkan aksi terbaik apabila tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia 2022.
Biarpun bermain di halaman sendiri, tuan rumah tidak berjaya mengambil kesempatan tersebut sebaiknya untuk mencari kemenangan.
Dengan kekalahan ini, ia merupakan kekalahan keenam berturut-turut buat Kedah.
Sementara Negeri Sembilan pula membawa sedikit kelebihan untuk perlawanan kedua nanti di Paroi.
Keadaan padang yang tidak begitu baik akibat hujan di separuh masa pertama serta sebelum perlawanan juga telah menggangu rentak permainan kedua-dua pasukan dalam melakukan serangan.
Perkara ini juga menyebabkan kedua-dua pasukan mengalami masalah terutamanya ketika melakukan hantaran pendek.
Ia mengakibatkan rentak permainan sedikit terganggu dan serangan menjadi terbatas selepas bola sering tersangkut di permukaan padang.
Negeri Sembilan yang hadir di Stadium Darul Aman dengan motivasi tinggi untuk memburu kemenangan dan mereka membuktikan dengan memulakan permainan dengan aksi serangan pantas sebaik sahaja wisel ditiupkan.
Lima minit pertama, Negeri Sembilan mempunyai peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan menerusi ketua pasukan mereka, Zaquan Adha namun gagal memanfaatkan peluang tersebut selepas hanya berhadapan dengan penjaga gol Kedah – Ifwat Akmal.
Ifwat terus beraksi cemerlang untuk menafikan percubaan kali kedua dari Yashir Pinto.
Kedah yang ditekan bertubi-tubi di awal permainan menyusun kembali rentak permainan mereka untuk mengimbangi permainan dan cuba mengatur serangan balas.
Dikala skuad Rusa begitu ghairah dalam mengatur serangan, Kedah mengambil kesempatan tersebut melakukan serangan balas pantas.
Percubaan tepat pertama pasukan Kedah membuahkan hasil selepas rembatan Fayadh Zulkifli dari luar kotak gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi untuk meletakkan tuan rumah di hadapan pada mint ke-7.
Kedah hampir mengukuhkan kedudukan selepas hantaran cantik dari Fayadh namun Mahmoud Al-Mardi terlepas peluang tersebut.
20 minit pertama permainan, perlawanan dilihat seimbang apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari gol.
Negeri Sembilan sekali lagi mempunyai peluang terbaik apabila Zaquan berjaya melepasi pertahanan Kedah namun hantaran beliau gagal disempurnakan dengan baik oleh Omid Nazari.
Usaha keras anak-anak buah K. Devan mencari jaringan penyamaan akhirnya menjelma pada minit ke-41 selepas pemain pertahanan mereka, Rashid Halim berjaya mengambil kesempatan atas kesilapan Ifwat selepas gagal menumbuk kemas hantaran pemain Negeri Sembilan.
Negeri Sembilan sekali lagi menguji Ifwat dengan percubaan luar kotak namun kali ini beliau bertindak cemerlang untuk menepis keluar bola itu.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Rashid berpeluang untuk meletakkan pasukannya di hadapan namun gerakan cantik beliau gagal disudahkan dengan baik dalam kotak penalti.
Bermula babak kedua, tempo permainan terus ditingkatkan oleh kedua-dua pasukan dengan berbalas serangan untuk mencari gol tambahan.
Ronald Ngah Wanja hampir meletakkan skuad kendalian Victor Andrag di hadapan selepas tandukan pemain itu sudah menewaskan Syihan namun palang menjadi penghalang.
Negeri Sembilan kembali membalas serangan tersebut dan serangan kali ini membuahkan hasil apabila tandukan penyerang import mereka, Matheus Alves berjaya menewaskan Ifwat pada minit ke-67.
Tuan rumah yang ketinggalan cuba melakukan sesuatu termasuk melakukan beberapa pertukaran pemain untuk menambah tenaga baru namun serangan mereka berjaya dipatahkan dengan mudah oleh pertahanan lawan.
Lima minit terakhir sebelum tamat permainan, Kedah terus menekan dengan serangan bertali arus dari sebelah kiri dan kanan untuk mencari gol penyamaan.
Mereka akan berjumpa dalam perlawanan kedua yang bakal berlangsung pada 31 Oktober ini di Negeri Sembilan untuk menentukan pasukan mana akan ke suku akhir.
Keputsan akhir, Kedah Darul Aman 1-2 Negeri Sembilan.