Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias mengharapkan cuaca pada aksi perlawanan akhir Piala Malaysia malam esok akan berada dalam keadaan baik.
Semua ini didedahkan oleh beliau ketika sidang media pra-perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang aksi akhir pada esok.
Menurut Farizal, padang menjadi aspek yang cukup penting dalam perlawanan terutamanya aksi akhir dan jika ianya tidak terkesan dengan cuaca, pasti tidak akan menggangu kerancakan perlawanan.
“Pada saya, padang adalah aspek terpenting. Saya harap esok tak hujanlah,” kata Farizal kepada para media.
Farizal turut mengakui yang beliau dan rakan sepasukan turut berada dalam keadaan bersedia dan penjaga gol itu gembira kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik.
“Semuanya dalam keadaan yang baik, pemain semua tiada yang cedera atau pun digantung,” ujar Farizal.
Bagi pertahanan Selangor, Sharul Nazeem, beliau mengakui yang dirinya berasa gugup untuk beraksi di perlawanan akhir.
Walaupun berasa gugup, Sharul menganggap perkara ini adalah normal bagi seorang pemain apabila berdepan dengan perlawanan akhir.
“Saya akui yang saya berasa gugup, rakan-rakan yang lain pun berasa yang sama tapi itu semua adalah perkara normal.
“Pada saya, kita perlu cepat menyesuaikan diri supaya semuanya berjalan dengan baik,” jelas Sharul.
JDT berpeluang untuk menamatkan musim Liga Malaysia 2022 dengan rekod tanpa kalah dalam semua kejohanan jika berjaya menewaskan Selangor pada esok.
Manakala Selangor pula berpeluang untuk memenangi piala utama yang pertama sejak 2015 jika berjaya menewaskan JDT esok.
Kali terakhir Selangor memenangi piala adalah pada 2015 juga menerusi Piala Malaysia dengan menewaskan Kedah 2-0.
GAMBAR: Syamil Rosli – Aremil Works