Piala Malaysia: Aksi Panas Terengganu-JDT Berakhir Dengan Seri

Piala Malaysia 2021

Separuh akhir Piala Malaysia menyaksikan perlawanan sengit antara pasukan Terengganu menentang Johor Darul Ta;zim di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan berkesudahan seri 1-1.

Pada awal perlawanan lagi kita dapat menyaksikan tuan rumah, Terengganu begitu bersemangat memburu gol dengan gerak-gerak berbahaya daripada Jordan Mintah, Lee Tuck, dan Faisal Halim.

Terengganu terlebih dahulu memperoleh sepakan percuma seawal minit ke-2 setelah Mintah dikasari namun rembatan Tuck jauh tinggi melepasi gawang gol.

JDT tidak dapat menyeimbangkan permainan lawan pada 5 minit pertama dengan lebih banyak bertahan dan cuba menyusup masuk melalui serangan balas pantas.

Mintah hampir mencipta gol awal permainan melalui gerakan solo pada minit ke-7 namun berjaya dikeluarkan oleh Shane Lowrey.

Gol perlawanan yang dicari akhirnya tiba apabila Mintah berjaya menanduk masuk gol hasil hantaran dari sebelah kiri oleh Tuck untuk menewaskan Farizal Marlias seawal separuh masa pertama di minit ke-8.

Enggan mengalah, JDT bertindak balas dengan menguasai permainan pula untuk mendapatkan gol penyamaan. Namun rembatan Bergson sekadar menyinggah palang pada minit ke-10

JDT lebih banyak melakukan percubaan dari luar petak penalti setelah menyedari disiplin pertahanan tuan rumah yang amat ampuh untuk dilepasi.

Permainan juga dilihat agak tegang dengan masing-masing saling melancarkan perang psikologi. Kad kuning pertama akhirnya dikeluarkan pengadil kepada Leandro setelah pemain ini tidak dapat mengawal perasaan pada minit ke-24.

Arif Aiman yang sentiasa dikawal ketat sesekali berjaya juga melepaskan rembatan deras kepada Suhaimi Husin namun berjaya ditepis keluar pada minit ke-28.

Minit ke-42 Terengganu hampir menambah gol kedua perlawanan namun gerakan menarik beliau sedikit tersasar keluar walaupun berjaya menewaskan Lowry.

Bersambung di separuh masa kedua, JDT dilihat lebih dominan untuk menjana serangan berbanding Terengganu yang dilihat lebih berhati-hati dan menyerap segala asakan cuba dilakukan.

Bergson akhirnya membuka tirai jaringan buat pasukannya pada minit ke-50 setelah menerima umpanan cantik daripada Arif Aiman untuk menewaskan Suhaimi.

Minit ke-58 Cabrera hampir mencatat nama selaku penjaring gol kedua JDT namun rembatan voli yang dilakukan beliau sedikit tersasar.

Enggan membiarkan pelawat menguasai permainan, Terengganu sesekali mencipta beberapa gerakan dan hantaran cantik dari sebelah kanan oleh Marcel berjaya menemui Mintah yang menanduk terus ke dakapan Farizal Marlias pada minit ke-63.

Arif Aiman mendapat peluang menarik pada minit ke-66 apabila gerakan individu beliau hampir membuatkan Terengganu kecewa namun pantas ditutup rapi oleh barisan pertahanan.

Bola dilihat lebih banyak berlegar di tengah padang apabila kedua pasukan buntu untuk melepasi antara satu sama lain.

Situasi tegang juga menyaksikan ada insiden pergaduhan kecil antara Shane Lowry bersama Suhaimi Husin sebelum ditenangkan pengadil.

Menjelang saat-saat akhir permainan, JDT mendapat beberapa peluang sepakan percuma namun gagal diterjemahkan dengan menarik.

Terengganu sesekali cuba mencipta beberapa gerakan namun berjaya dipatahkan oleh barisan tengah pemain JDT yang dilihat lebih bersedia.

Minit ke-92, Safawi Rasid yang menjadi pemain gantian mendapat peluang keemasan untuk mencatat gol namun rembatan beliau terus ke dakapan Suhaimi.

Keputusan permainan kekal dengan Terengganu dan JDT masing-masing membawa pulang bekalan 1 gol. Sedikit kelebihan buat JDT yang mendapat gol di tempat lawan.

Perlawanan separuh akhir kedua TM Piala Malaysia akan berlangsung semula pada jumaat ini di Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi timbal balik.

Kesebelasan utama

Terengganu: Suhaimi Hussin (penjaga gol), Shahrul Nizam, Carli de Murga (ketua pasukan), Arif Fadzillah, Azarul Nazarith, Habib Haroon, Dechi Marcel, Lee Tuck, Faiz Nasir, Faisal Halim, Jordan Mintah

Johor Darul Ta’zim: Farizal Marlias (penjaga gol) (ketua pasukan), Matt Davies, Shahrul Saad, Shane Lowry, La’vere Corbin-Ong, Natxo Insa, Afiq Fazail, Leandro Velazquez, Arif Aiman, Gonzalo Cabrera, Bergson Da Silva

Leave a Reply