Piala Malaysia: Terikat 1-1, KL City & Melaka United Akan Sambung ‘Bertempur’ Di Hang Jebat Pula

Gomis Josue KL City Melaka United Piala Malaysia 2021

KL City FC dan Melaka United terikat dengan keputusan 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 di Stadium KLFA, Cheras. KL City juga meneruskan rentak 21 perlawanan tanpa tewas di laman sendiri.

Walaupun cuba untuk memburu jaringan kemenangan di penghujung perlawanan, kegagalan jentera serangan tuan rumah yang digerakkan Romel Morales tampak jelas dalam perlawanan yang sedikit dikuasai lawan.

Turun tanpa sebarang perubahan sebagaimana aksi suku akhir kedua sebelum ini, pengendali kedua-dua pasukan, Bojan Hodak dan Zainal Abidin Hassan meletak kepercayaan kepada barisan pemain sedia ada. Mungkin tidak mahu mengambil sebarang risiko, kedua-dua pasukan tentu mahu melakar satu lagi sejarah.

Kali terakhir KL City (dahulu Kuala Lumpur) mara ke separuh akhir adalah pada edisi 1992 sementara Melaka United (dahulu Melaka) mara pada edisi 1983. Namun, langkah kedua-dua pasukan tersekat di separuh akhir.

Hujan yang turun sebelum perlawanan menyaksikan padang sedikit becak, namun ia tidak merencatkan langsung permainan. Tuan rumah, KL City dan Melaka United tampil dengan aksi yang rancak biarpun para pemain berhati-hati dengan pergerakan masing-masing, mungkin mahu mengelak kesilapan tidak perlu.

Seawal minit ke-8, Melaka United sudah membuka jaringan menerusi Adriano. Sepakan percuma dari luar kotak penalti yang diambil penyerang itu gagal dibaca oleh penjaga gol KL City, Kevin Mendoza yang hanya mampu melihat gawang golnya digegar lawan. Ia merupakan jaringan ke-4 Adriano dalam saingan Piala Malaysia.

KL City sudah agak lama tidak bolos di laman sendiri – kali terakhir ketika menewaskan Sri Pahang 3-1 di peringkat kumpulan Piala Malaysia pada 26 September. Untuk skuad Hang Tuah pula, mereka semakin kerap mencipta jaringan awal dalam setengah jam awal permainan terutamanya dalam aksi Piala Malaysia.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan dalam tempoh dua minit, dua percubaan dicipta mereka. Manuel Ott berjaya melakukan percubaan tersasar dari luar kotak penalti buat pelawat sebelum Zhafri Yahya pula melepaskan rembatan liar di minit ke-20 untuk tuan rumah cuba bagi menyamakan kedudukan.

Zhafri Yahya menebus kegagalannya tujuh minit kemudian apabila menanduk masuk hantaran lintang kapten, Paulo Josue dari sebelah kiri gawang gol menewaskan Khairul Fahmi bagi The City Boys mengikat kedudukan.

Dapat dilihat pasukan pelawat sentiasa bergerak dari koridor kiri menggunakan kekuatan larian dan fizikal Sony Norde. Mereka juga gemar untuk melepaskan rembatan jauh dari kawasan depan kotak penalti lawan, mungkin mengharapkan Kevin Mendoza akan terlepas bola untuk mereka menyambar bola kedua dan meledak gol.

Untuk rembatan, Zainal Abidin mengharapkan Sony Norde dan Manuel Ott yang memiliki kekuatan rembatan.

Walaupun penguasaan seimbang daripada kedua-dua pasukan, KL City dilihat sedikit bergelut terutamanya di kawasan defensive third lawan. Berbanding Melaka United, KL City jarang berhasil mencipta percubaan ke gawang yang dikawal Khairul Fahmi walaupun dilihat cuba mencatur sesuatu menerusi Romel Morales.

Walaupun merupakan ancaman utama, Romel Morales hanya berjaya mencipta percubaan pertamanya selepas sejam perlawanan berlangsung, namun rembatan derasnya berjaya dinafikan Khairul Fahmi. Romel Morales hanya sekali tidak meledak gol dalam lapan perlawanan iaitu ketika berdepan Sri Pahang pada 10 November.

The City Boys mempamerkan peningkatan urgency dalam 15 minit terakhir dalam usaha mereka memburu jaringan kedua. Para pemain mereka mula memberi tekanan setiap kali pemain pelawat memiliki kawalan bola. Romel Morales sekali lagi memiliki peluang di minit ke-83, namun beliau gagal menyudahkan peluang.

Pertembungan kedua-dua pasukan ini akan bersambung di Stadium Hang Jebat pada 26 November ini dengan sedikit kelebihan buat Melaka United dan Zainal Abidin yang membawa bekalan satu gol di tempat lawan.

Leave a Reply