Cabaran Terengganu FC dalam kempen Piala Malaysia 2019 bakal teruji dengan berita deretan enam pemainnya yang tidak dapat diturunkan kerana kecederaan dan penggantungan perlawanan.
Ketiadaan perancang tengah pasukan, Lee Tuck pastinya akan paling dirasai berikutan hukuman penggantungan satu perlawanan beliau selepas menerima kad merah dalam perlawanan terakhir Liga Super menentang JDT tempoh hari.
Selain itu, lima lagi pemain yang masih belum pulih daripada kecederaan adalah pemain import Kemboja, Thierry Chanta Bin; penyerang Abdul Malik Mat Arif dan Ashaari Samsudin; serta pemain tengah Ahmad Syamim Yahya dan Khairul Anwar Shahrudin.
Bercakap kepada Berita Harian, pemangku ketua jurulatih Nafuzi Zain mengakui terasa dengan kehilangan lima tonggak utama pasukan tersebut, tetapi tetap tenang. “Perancangan kita macam biasa tapi ketiadaan Tuck sedikit dirasai kerana pemain itu adalah tonggak pasukan,” kata Nafuzi.
Menjelang perlawanan pertama kumpulan A menentang PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok, Terengganu perlu berwaspada dengan ancaman penyerang utama lawan, Kpah Sherman.
Menyedari hakikat itu, Nafuzi berharap pertahanan tengah barunya yang dibawa masuk dari TFC II, Serhii Andrieiev (menggantikan Igor Zonjic) mampu menyekat kemaraan penjaring terbanyak Liga Super 2019 itu.
Kemampuan Terengganu FC mengikat JDT 3-3 di Larkin dalam aksi terakhir Liga Super 2019 diharapkan oleh Nafuzi untuk dapat membantu motivasi para pemain.
Kecederaan pemain utama seharusnya dimanfaatkan oleh pemain simpanan terutama pemain sayap berusia 22 tahun Rahmat Makasuf – yang juga telah dibawa masuk dari Terengganu FC II oleh Nafuzi bagi memperkuatkan pasukan.