Piala Malaysia 2019: PKNS FC Sasar Layak Ke Separuh Akhir

kedah-pkns piala malaysia

PKNS FC mensasarkan untuk sekurang-kurangnya layak hingga ke peringkat separuh akhir untuk saingan Piala Malaysia 2019 serta memperbaiki prestasi musim lalu – beraksi hingga ke suku akhir.

Setiausaha PKNS FC, Md Adi Harmizi Ariffin menjelaskan yang sasaran ini bukanlah untuk memberi tekanan kepada barisan kejurulatihan pasukan tetapi hanya sebagai persiapan pasukan.

Sedar dengan prestasi hambar pasukan pada pusingan kedua Liga Super, barisan pengurusan mahu pasukan memberikan saingan yang lebih baik di Piala Malaysia sebagai pengubat kekecewaan.

“Kami bukanlah mahu memberi tekanan kepada barisan kejurulatihan dengan sasaran yang di luar keupayaan.

“Tetapi kami mahukan barisan kejurulatihan cuba mempersiapkan pasukan dengan sebaiknya agar PKNS dapat memberikan saingan yang lebih kompetitif,” ujarnya kepada Stadium Astro.

Dalam saingan Liga Super 2019 yang lalu, PKNS FC berada pada kedudukan ke-9, rekod terburuk sejak mereka kembali ke kancah tertinggi Liga Malaysia bermula pada musim 2017.

Dengan 21 mata yang telah diraih, mereka hanya dibezakan lima mata daripada pasukan di zon penyingkiran. Untuk saingan Piala FA pula, anak didik Datuk K. Rajagobal itu melangkah sehingga ke suku akhir sebelum tewas 2-4 kepada Kedah secara agregat.

Bercakap mengenai Kedah, Md Adi Harmizi menyatakan yang jodoh PKNS FC dengan juara Piala FA 2019 itu sangat kuat. Sehingga kini sahaja, mereka telah bertembung empat kali.

“Jodoh kami dengan Kedah amat kuat. Selain aksi Liga Super, kami juga telah bertembung dalam Piala FA (peringkat suku akhir).

“Kami rasakan Kedah merupakan pencabar utama dalam Kumpulan A, Terengganu juga adalah pasukan yang bagus sambil kami tidak boleh memandang ringan kemampuan mereka,” ujarnya lagi.

PKNS FC diletakkan bersama Kedah, Terengganu dan wakil Liga Premier, Negeri Sembilan dalam Kumpulan A untuk Piala Malaysia 2019. Dengan Kedah dikategorikan sebagai pencabar kejuaraan, peluang buat PKNS FC dan Terengganu dilihat seimbang.

PKNS FC terlebih dahulu akan berkunjung ke Kuala Terengganu untuk bertemu Terengganu FC pada 2 Ogos depan sebelum turun ke Paroi pada 7 Ogos untuk menentang Negeri Sembilan.

Kedah adalah lawan terakhir di pusingan pertama dengan lokasi perlawanan terlebih dahulu adalah di Stadium Shah Alam.

Kredit Featured Images: Malaysia Football League

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN