Perak sekadar meraih satu mata pada aksi ketiga saingan Kumpulan C Piala Malaysia 2019 selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Pulau Pinang di Stadium Perak, sebentar tadi.
Perak yang tumbang pada aksi kedua minggu lalu menggunakan kesempatan di laman sendiri dengan mempamerkan corak permainan lebih tersusun berbanding skuad pelawat.
Pemain sayap kanan, J. Partiban menguji gawang Pulau Pinang pada minit ke-10, namun rembatannya dari luar kawasan penalti berjaya dinafikan penjaga gol, Muhammad Zamir Selamat.
Hanya berselang seminit kemudian, Perak berjaya membuka tirai jaringan menerusi penyerang import, Ronaldo Henrique Silva.
Ronaldo yang tidak dikawal pemain pertahanan lawan dengan mudah menolak masuk hantaran lintang dilakukan Partiban dari sebelah kiri pintu gol Pulau Pinang.
Jaringan itu menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa sebarang gol yang dihadapi pemain kelahiran Brazil itu.
Bagai mendapat tonik berguna daripada jaringan tersebut, skuad bimbingan Mehmed Durakovic itu menggandakan asakan ke kubu Pulau Pinang. Penyudah kurang berkesan bagaimanapun menghalang usaha Perak untuk menambah jaringan.
Aksi bersambung memperlihatkan permainan lebih seimbang dengan Pulau Pinang turut melancarkan gerakan berbahaya bagi kembali mengikat kedudukan.
Usaha anak buah Manzoor Azwira Abd Wahid itu membuahkan hasil pada minit ke-63 selepas serangan balas pantas yang disudahkan dengan baik oleh Casagrande Anselmo Da Silva.
Tersentak dengan jaringan penyamaan Pulau Pinang, Perak mencipta beberapa peluang terbaik tetapi ia tidak mampu untuk menjelmakan jaringan kemenangan yang diharapkan.
Keputusan 1-1 itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah untuk kedua-dua pasukan berpuas hari dengan satu mata.
Kredit foto: Malaysian Football League