Pemain sayap Terengganu FC, Syamim Yahya sedar akan tugas sukar menanti mereka untuk suku akhir kedua menentang Johor Darul Ta’zim(JDT) pada Sabtu ini. Tewas 0-1 dan akan berkunjung pula ke Larkin, ia umpama satu misi mustahil buat Sang Penyu.
Dipetik berkata kepada Berita Harian, Syamim Yahya menjelaskan yang beliau merasakan dirinya belum cergas untuk aksi berdepan JDT dan berdoa agar kemenangan akan berpihak kepada mereka.
“Saya pasrah sama ada disenaraikan atau sebaliknya apabila bertemu JDT nanti kerana belum cergas sepenuhnya. Saya masih lagi terasa kesakitan ketika sesi latihan,” maklumnya.
“Namun, jika saya cergas sepenuhnya sebelum Sabtu ini, besar harapan saya untuk membantu skuad TFC dalam perlawanan itu supaya layak ke separuh akhir lebih-lebih lagi pasukan kami ketinggalan 0-1 pada aksi pertama. Saya doakan kami mampu menang sekurang-kurangnya 2-1 untuk layak ke peringkat seterusnya,” tambah pemain yang berusia 29 tahun itu lagi.
Pada edisi lalu, Terengganu dan JDT bertembung di separuh akhir di mana kemenangan di halaman sendiri menjadi senjata utama mereka untuk menyingkirkan juara edisi 2017 itu apabila terikat 2-2 di Larkin hasil dua jaringan oleh penyerang import, Tchetche Kipre.
Kini, skrip tersebut sedikit berubah dengan Sang Penyu perlu memburu kemenangan mutlak di halaman lawan dan pastinya sentuhan pemusnah Tchetche Kipre sekali lagi akan ditagih. Setakat ini, penyerang kelahiran Ivory Coast itu telah meledak enam gol.
“Buat rakan sepasukan teruskan perjuangan hingga titisan peluh terakhir biarpun sedar bukan mudah beraksi di Larkin.
“Buat peminat setia skuad Penyu, sokongan padu anda sentiasa ditagih untuk menyuntik semangat pemain beraksi lebih baik dalam pertemuan penting itu,” tambahnya lagi.
Sementara itu, pengendali sementara Terengganu, Nafuzi Zain juga seakan-akan mengiyakan yang Syamim Yahya masih belum cergas sepenuhnya sambil menyatakan terdapat pemain lain yang mampu menggalas tugas untuk aksi penting menentang JDT nanti.
“Ketika aksi persahabatan kelmarin, Syamim kelihatan semakin baik, begitu juga Chantha Bin. Mungkin kecergasan dia belum pulih sepenuhnya lagi. Namun peluang buat dua pemain itu boleh saya rumuskan masih 50-50 untuk disenaraikan,” ujarnya.
Kredit Featured Image: Terengganu FC