Negeri Sembilan tidak mahu mengalah lebih awal biarpun peluang untuk layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia 2019 sangat kecil iaitu perlu menang besar ke atas Kedah dan mengharapkan Terengganu FC gagal mengutip sebarang mata di Shah Alam.
Begitupun, slot ke suku akhir tidak berada di dalam minda ketua jurulatih mahupun pemain-pemain, namun Negeri Sembilan hanya mahukan keputusan positif dan merekodkan kemenangan hatrik selepas menang ke atas Terengganu FC dan PKNS FC.
Ketika ini, Kedah sudah mengesahkan satu slot ke suku akhir, sementara Terengganu FC dan Negeri Sembilan akan bersaing untuk satu lagi slot. Terengganu FC berada di kedudukan kedua dengan sembilan mata dan Negeri Sembilan dengan enam mata.
Pengendali Negeri Sembilan, Zaki Sheikh Ahmad menyatakan kepada Berita Harian, layak atau tidak skuad kendaliannya ke pusingan seterusnya adalah bergantung kepada rezeki.
“Peluang sama ada layak atau tidak ke suku akhir, itu kita berserah kepada Allah jika ada rezeki,” jelas Zaki sambil mahukan para pemainnya mempamerkan persembahan yang membanggakan.
“Saya hanya mahukan pemain tampil dengan kualiti persembahan membanggakan seperti ditunjukkan dalam dua perlawanan sebelum ini,” ujarnya selepas Negeri Sembilan berjaya merekodkan dua kemenangan berturut-turut dalam aksi ke-4 dan ke-5.
“Walaupun pertama kali beraksi di Stadium Darul Aman musim ini, ia bukan asing buat sebahagian besar pemain.
“Saya berharap mereka dapat mengekalkan rentak kemenangan dicapai sebelum ini,” tambahnya lagi yang berjaya membawa semula skuad Jang kepada prestasi yang baik setakat ini.
Zaki Sheikh Ahmad telah menggantikan Mat Zan Mat Aris pada penghujung Julai lalu selepas berakhirnya saingan Liga Premier yang menyaksikan Negeri Sembilan berada di kedudukan ke-6.
Penjaring dua gol ketika membenam PKNS FC pada aksi Jumaat lalu, Ferris Danial Mat Nasir juga bersikap realistik dan mahukan kemenangan ke atas Kedah tanpa memikirkan slot ke suku akhir.
“TFC yang menduduki tangga kedua carta ketika ini dengan kutipan sembilan mata dilihat memiliki kelebihan berbanding kami yang setakat ini hanya mengumpul enam mata.
“Apapun, kami akan turun ke Alor Setar dengan berbekalkan semangat dan kesungguhan tinggi untuk mencatatkan keputusan positif bagi membalas dendam di atas kekalahan yang dialami di laman sendiri sebelum ini, tanpa terlalu memikirkan peluang sama ada layak ke suku akhir atau sebaliknya.” ujar penyerang berusia 27 tahun itu kepada Berita Harian.
Kredit Featured Image: Negeri Sembilan FA