Quantcast

BERITA

VIDEO: Hatrik Zlatan Bantu Galaxy Belasah Sporting Kansas City 7-2

Zlatan Ibrahimovic menjaringkan hatrik untuk membantu LA Galaxy bangkit dari ketinggalan satu gol sebelum menewaskan Sporting Kansas City 7-2 pada Ahad.

Galaxy terlebih dahulu ketinggalan melalui jaringan Felipe Gutierrez, sebelum kebangkitan luar biasa Galaxy bermula – yang menempatkan mereka di tangga ke-5 Western Conference.

Ia juga bermakna Galaxy kini membuka ruang untuk beraksi di MLS play-off, sekiranya mampu untuk menempatkan diri sebagai empat kelab terbaik dari Western Conference.

Galaxy mulai bangkit dalam perlawanan tersebut melalui jaringan Ibrahimovich, setelah pasukan itu diberikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Matt Besler di dalam kotak penalti.

Sepakan bekas pemain Manchester United dari Sweden itu pada mulanya berjaya ditepis penjaga gol Sporting, Tim Melia yang kemudiannya tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang sepakan susulan Ibrahimovic.

Babak kedua menyaksikan Galaxy terus mengganas. Selepas Joe Corona menjadikan kedudukan 2-1, Ibrahimovic menambah jaringan peribadi kedua dalam perlawanan ini dengan rembatan kaki kiri, selepas mengawal kemas hantaran lintang Rolf Feltscher.

Selepas Uriel Antuna dan Sebastian Lletget masing-masing menjaringkan satu gol, giliran Ibrahimovic sekali lagi menambah jaringan untuk melengkapkan hatrik – sebelum Gutierrez menjaringkan gol kedua buat Sporting.

Kekalahan tersebut juga menyukarkan peluang Sporting untuk ke perlawanan play-off.

Manakala hatrik oleh Ibrahimovic menjadikan jumlah jaringan peribadi musim ini kepada 26 gol, sekaligus memecah rekod jaringan tertinggi kelab – 24 gol yang dipegang oleh Carlos Ruiz pada 2002.

Ibrahimovic juga memerlukan dua lagi jaringan untuk menyamai jumlah jaringan terkumpul Carlos Vela dari pasukan seteru, Los Angeles FC untuk berebut anugerah kasut emas.

Berbaki empat perlawanan, peluang LA Galaxy untuk berada di dalam kelompok empat pasukan teratas untuk ke play-off masih lagi terbuka.