Bercakap kepada The Star, Baddrol Bakhtiar menganggap rehat yang lebih membantu Kedah untuk kembali membaiki kelemahan mereka terutamanya di benteng pertahanan menjelang aksi suku akhir Piala Malaysia 2019 menentang PKNP FC, malam ini.
Harus diakui, Kedah merupakan pasukan yang merekodkan bolos terbanyak dalam saingan peringkat kumpulan iaitu 10 gol daripada enam perlawanan dalam saingan Kumpulan A sebelum ini. Tiada perlawanan yang Ifwat Akmal berjaya mencatatkan cleansheet.
“Kita tahu yang kita agak lemah di pertahanan dan kita telah berusaha gigih di dalam sesi latihan untuk memperbaikinya.
“Untungnya, kita telah mendapat tempoh rehat yang panjang untuk memperbaikinya selepas aksi suku akhir ini ditangguhkan akibat penangguhan perlawanan PKNP-PJ City,” jelasnya.
Pengendali Kedah, Aidil Sharin dilihat konsisten membariskan pemain pertahanan yang sama iaitu, Rizal Ghazali, Renan Alves, Shakir Hamzah dan Azmeer Yusof dalam semua perlawanan setakat ini, melainkan jika salah seorang daripada pemain tersebut mengalami kecederaan ataupun digantung perlawanan.
Bercakap mengenai perlawanan suku akhir malam nanti, Baddrol Bakhtiar menjelaskan yang ia akan menuntut sepenuhnya fizikal para pemain Helang Merah kerana lawan mereka kali ini dibarisi oleh beberapa pemain muda dan menerapkan permainan pantas.
“Ia akan menjadi perlawanan yang pantas dan kita perlu segera dan berupaya untuk membaca pergerakan mereka. Perlawanan ini akan menuntut sepenuhnya pemain Kedah secara fizikal.
“Mereka memiliki pemain-pemain muda yang mahu menunjukkan kemampuan mereka dan sangat berbahaya menerusi kepantasan permainan mereka,” tambah pemain berusia 31 tahun itu lagi.
“Moral mereka sangat tinggi selepas menang ke atas PJ City. Dan satu lagi kelebihan mereka adalah beraksi di laman sendiri,” jelas Baddrol Bakhtiar sambil mengharapkan dapat meledak gol pantas di Manjung disamping membawa bekalan selesa ke Darul Aman.
Pemain sayap berpengalaman itu juga lega kerana Kedah memiliki barisan pemain yang mampu meledak gol seperti Jonatan Bauman, Fernando Rodriguez dan kini Farhan Roslan serta Fayadh Zulkifli menjadikan tugasnya boleh dialihkan ke posisi lain dalam pasukan.
“Musim ini tugas saya sangat berbeza dengan musim lalu yang diperlukan untuk mencetak gol. Saya gembira dengan peranan baharu saya yang membolehkan saya fokus di posisi lain,” katanya.
Untuk rekod, musim ini dalam semua pertandingan, Baddrol Bakhtiar telah menjaringkan enam gol dan 10 bantuan gol.