Quantcast

BERITA

Ketua Menteri Janji Langsai Gaji Pemain Melaka United Bulan Ini

Tungakkan gaji pemain Melaka United akan mulai dijelaskan pada bulan ini secara berperingkat.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), yang juga Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Menurut laporan dari Berita Harian, pembayaran akan mulai dilakukan pada hujung bulan ini membabitkan kos RM1 juta.

Presiden MUSA, Adly Zahari

Namun demikian Adly menafikan khabar angin bahawa MUSA berhutang sehingga lima bulan gaji kepada pemain-pemainnya.

“Saya kecewa apabila ada yang mendakwa gaji pemain tidak dibayar sehingga lima bulan, ia tidak benar kerana tunggakan sebenar adalah tiga bulan.

“Kekangan yang kita hadapi sekarang adalah bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tertunggak sejak tahun lalu dan kita berusaha melunaskannya secara berperingkat beserta dengan bayaran gaji menjelang hujung bulan ini,” katanya.

FOTO: MUSA

Beliau dipetik sebagai berkata demikian ketika bercakap kepada wartawan Berita Harian selepas Majlis Makan Malam Negeri sempena Kovensyen Pengembangan dan Hari Inovasi Veterinar di A’ Famosa Resort pada malam tadi.

Isu tunggakan gaji pemain Melaka United bukannya perkara baharu. Sebelum ini terdapat laporan mengatakan para pemain tidak menerima gaji pada Mei lalu.

Ia timbul sekali lagi pada Julai tahun ini apabila akhbar sama, Berita Harian melaporkan pemain tidak menerima gaji sejak Aidilfitri.

Bilalah agaknya benda ni nak stop?

Posted by Semuanya BOLA onĀ Saturday, September 21, 2019

Terbaru pula ialah luahan ketua pasukan, Shukor Adan yang mendedahkan mereka tidak menerima bayaran gaji melalui satu muat naik di Instagram.

Bagaimanapun tidak boleh dipastikan sama ada bayaran kali ini akan melibatkan skuad Piala Belia yang turut dibelengu masalah tidak dibayar gaji seperti yang kami dedahkan pada hari ini.

Menurut Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, kelewatan pembayaran gaji yang dihadapi itu berikutan terdapat penaja yang masih belum menyelesaikan komitmen tajaan.