Piala Malaysia 2019: Kedah Bergaya Tamatkan Cabaran PKNP FC Di Darul Aman

Bauman Edgar Fayadh Kedah Negeri Sembilan Piala Malaysia

Jaringan Farhan Roslan, Jonatan Bauman, David Rowley dan Fayadh Zulkifli membantu Kedah untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2019 menewaskan PKNP FC 4-1 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. Kedah melayakkan diri dengan agregat 6-2.

Semangat PKNP FC sedikit disentak dengan dua gol pantas Kedah pada minit ke-24 dan ke-25 menerusi sentuhan Farhan Roslan dan Jonatan Bauman namun mereka dilihat tidak mengalah malah tampil mengasak tuan rumah bertubi-tubi di babak kedua.

PKNP FC telah menunjukkan niat mereka untuk memburu jaringan awal menerusi beberapa asakan ke benteng Kedah dan kegagalan perangkap offside Kedah hampir memakan diri mereka apabila Hafiz Ramdan dan Yashir Pinto berhasil meloloskan diri.

Peluang terbaik PKNP FC hadir pada minit ke-8 apabila Yashir Pinto melepasi kawalan pertahanan seterusnya menewaskan Abd Hadi Hamid yang masuk menggantikan Ifwat Akmal yang dilaporkan mengalami kecederaan, namun ianya dikeluarkan Renan Alves.

Kedah dilihat cuba bangkit mengimbangi perlawanan menerusi beberapa gerakan namun barisan benteng The Juggernaut tampil kental bertahan disamping kelonggaran kombinasi di jentera serangan sedikit mengecewakan pemain Helang Merah.

Minit ke-23, Baddrol Bakhtiar hadir ke kawasan gol pelawat dengan menewaskan dua pertahanan sebelum melepaskan rembatan deras namun berjaya diselamatkan penjaga gol, Shafiq Afifi – percubaan pertama Kedah selepas beberapa gerakan cuba dicaturkan.

Berpunca daripada sepakan penjuru dan kekalutan di depan gol PKNP FC, Farhan Roslan memanfaatkannya menerusi rembatan rendah untuk menewaskan Shafiq Afifi bagi membolehkan Kedah mendahului pada minit ke-24 – gol keduanya di Piala Malaysia.

Tidak sampai seminit, giliran Jonatan Bauman pula meledak gol kedua buat tuan rumah selepas menerima hantaran lintang kemas daripada Farhan Roslan dari sebelah sayap kiri sebelum berjaya melepaskan rembatan rendah untuk menggegar gol lawan.

Helang Merah kian bernafsu memburu gol namun percubaan Fernado Rodriguez yang berjaya menewaskan Shafiq Afifi gagal menerjah gawang selepas penjaga gol muda itu kembali mengejar dan menghalang bola tersebut daripada membolosi gawangnya.

Peluang paling hampir buat pelawat untuk merapatkan jurang gol tiba di minit ke-34, namun percubaan pemain gantian, Al Fateh Afandi telah berjaya ditepis keluar oleh Abd Hadi Hamid sebelum rembatan deras Mukhairi Ajmal dari luar kotak penalti mengegar palang gol tuan rumah pada penghujung babak pertama.

Kemasukkan pemain tengah, Al Fateh Afandi berhasil merubah kembali rentak The Juggernaut dan menandakan perubahan formasi oleh Abu Bakar Fadzim apabila pertahanan, Amani Aguinaldo dikeluarkan sejurus Kedah meraih gol kedua.

Babak kedua bermula dengan beberapa asakan pelawat ke kubu tuan rumah menerusi gandingan Al Fateh Afandi dan Mukhairi Ajmal. PKNP FC juga membawa masuk Ezanie Mat Salleh, bek kiri yang lebih attacking minded menggantikan Filemon Anyie.

Renan Alves Kedah PKNP Piala Malaysia
FOTO: MFL

Begitupun, benteng Kedah yang kembali diterajui Renan Alves dan Shakir Hamzah bersama Rizal Ghazali dan Azmeer Yusof berjaya mengekang PKNP FC melepaskan percubaan ke gawang gol.

Penguasaan hampir 30 minit di babak kedua o;eh PKNP FC gagal diterjemahkan dengan jaringan gol walaupun memiliki beberapa peluang untuk kembali ke dalam perlawanan ini antaranya gerakan menarik Yashir Pinto menewaskan pertahanan dan penjaga gol tuan rumah yang gagal disambut Giancarlo pada minit ke-64.

Akhirnya di minit ke-72, David Rowley berjaya menanduk masuk jaringan ketiga buat Helang Merah hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Baddrol Bakhtiar – jaringan keduanya di Piala Malaysia selepas berjaya membuka akaunnya di Manjung minggu lalu.

Seminit kemudian, Jonatan Bauman telah mensia-siakan peluang terbuka yang diciptanya selepas berhasil mencuri bola daripada penjaga gol lawan, Shafiq Afifi namun rembatan tersasar.

Pemain berusia 17 tahun 10 bulan, Mukhairi Ajmal akhirnya berjaya meledak gol pertama PKNP FC di minit ke-80 selepas menerima hantaran Yashir Pinto di sebelah sayap kanan untuk menewaskan Abd Hadi Hamid di gawang buat kali pertama malam ini.

Di saat perlawanan menuju ke penghujungnya, pemain gantian, Fayadh Zulkifli berjaya menewaskan Shafiq Afifi buat kali ke-4 pada perlawanan malam ini menerusi rembatan kaki kirinya untuk menambah luka buat PKNP FC yang dilihat tidak bernasib baik.

Kredit Featured Image: Kedah FA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN