Piala Malaysia 2019: Jonatan Bauman Dan Alif Yusof Watak Utama Kemenangan Kedua Kedah

Alif Yusof Kedah PKNS FC

Hanya satu aksi Piala Malaysia 2019 berlangsung pada malam ini yang menyaksikan Kedah telah dipaksa bangkit dua kali sebelum berjaya menumbangkan PKNS FC di minit-minit akhir untuk aksi Kumpulan A, di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Jonatan Bauman menjadi duri dalam daging buat pelawat apabila dua jaringannya berjaya membantu Kedah bangkit semula sebelum bek sayap kiri, Alif Yusof menjaringkan gol kemenangan di minit ke-90 untuk menghalang hasrat pelawat membawa pulang 1 mata.

Aidil Sharin tampil dengan perubahan di jentera serangan Kedah apabila meletakkan Jonatan Bauman selaku penyerang utama, mengenepikan Fernando Rodriguez ke bangku simpanan. Selain itu, Azammuddin Akil pula menggantikan Zaquan Adha.

Bagi PKNS FC pula, mereka membuat perubahan di barisan pertahanan memasukkan Nicholas Swirad untuk Tamirlan Kozubaev dan pemain yang baru mendapat panggilan skuad kebangsaan, Jafri Firdaus Chew digantikan oleh K. Gurusamy.

10 minit awal menyaksikan PKNS FC terpaksa bertahan dengan tekanan awal yang dilakukan Kedah menerusi beberapa asakan yang cuba dicaturkan oleh Helang Merah menggunakan Azammuddin Akil sebagai fokal serangan di sayap kanan.

Antara peluang terbaik tuan rumah adalah sepakan percuma di luar kotak penalti namun ianya disia-siakan oleh Renan Alves apabila sepakannya sekadar singgah di benteng pelawat.

Minit ke-18, Kedah mula menguji penjaga gawang Semut Merah, Tauffiq Ar-Rashid apabila tandukan kapten, Baddrol Bakhtiar hanya melewati palang gol, hasil hantaran lintang Edgar Bernhardt.

Selepas hampir setengah jam perlawanan berlangsung, barulah PKNS FC berjaya melakukan asakan pertama ke gawang Kedah menerusi rembatan rendah Kpah Sherman namun ianya berjaya ditepis keluar dengan baik oleh penjaga gol, Ifwat Akmal.

Tidak sampai seminit, asakan kedua pelawat membuahkan hasil apabila rembatan jarak jauh pemain tengah, Romel Morales menerjah gawang selepas terbias di kaki pertahanan Kedah untuk gol pertama PKNS FC – gol keduanya di Piala Malaysia. Gol pertamanya adalah ketika berdepan lawan yang sama tempohari.

Kedah cuba bangkit semula dengan merencana beberapa gerakan ke kubu pelawat namun semuanya disia-siakan dengan percubaan tersasar dan kekentalan pertahanan lawan bertahan antaranya tandukan Jonatan Bauman yang dikeluarkan oleh benteng.

Babak kedua bermula dengan perubahan pemain yang dibuat oleh Aidil Sharin dengan memasukkan Fernando Rodriguez di posisi penyerang menggantikan Fadzrul Danel untuk menajamkan jentera serangan Kedah yang tampak tumpul di babak pertama.

Akhirnya Kedah meledak gol penyamaan pada minit ke-50 selepas sentuhan kedua Jonatan Bauman berjaya mengegar jaring gol pelawat hasil sepakan percuma Edgar Bernhardt yang terbias di palang gol – gol ketiganya dalam saingan Piala Malaysia.

Biarpun sudah berhasil menghasilkan jaringan gol, Helang Merah kembali kepada situasi asal iaitu tumpul dalam setiap percubaan yang dilepaskan ke gawang, sementara PKNS FC pula tampak gagal mengancam Ifwat Akmal dengan asakan berbahaya.

Minit ke-70, PKNS FC sekali lagi mengejutkan tuan rumah apabila pertahanan tengah, Nicholas Swirad berhasil menanduk masuk jaringan kedua buat pelawat selepas menerima hantaran daripada sepakan penjuru yang diambil oleh Akram Mahinan.

Semut Merah manfaatkan setiap asakan yang direncana, sementara Helang Merah pula terus dikecewakan dengan kegagalan produk akhir sedangkan penguasaan perlawanan jelas milik mereka.

Pertukaran posisi Baddrol Bakhtiar ke posisi sayap kanan 10 minit terakhir berhasil menambah aliran masuk hantaran lintang ke depan gol pelawat namun masalah ketumpulan jentera serangan Kedah masih menjadi penghalang untuk memburu gol.

Jonatan Bauman sekali lagi meledak gol buat tuan rumah untuk Kedah mengikat kedudukan pada minit ke-84 selepas menanduk masuk hantaran lintang Baddrol Bakhtiar daripada sayap kanan. Percaturan pertukaran posisi yang berhasil oleh Aidil Sharin.

Dan di minit ke-90, bek sayap kiri Helang Merah, Alif Yusof berjaya meledak gol pertamanya musim ini serta gol kemenangan buat tuan rumah untuk membolehkan mereka meraih 3 mata penuh dan memenangi perlawanan kedua dalam 4 perlawanan.

Kredit Featured Image: Malaysian Football League

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN