Rashford & Maguire Kutuk Serangan Perkauman ke Atas Paul Pogba

Penyerang Manchester United, Marcus Rashford dan pemain baru, Harry Maguire mengutuk serangan perkauman yang ditujukan kepada Paul Pogba dalam media sosial selepas United menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1 menentang Wolverhampton Wanderers tempoh hari.

Pogba menjadi sasaran selepas gagal menyudahkan sepakan penalti selepas berlaku sedikit isu sebelum sepakan itu diambil. Selepas perlawanan, Rashford menafikan berlaku pertelagahan antara beliau dan Pogba mengenai siapa yang akan mengambil sepakan penalti, tetapi menurut pemain England itu, ianya lebih kepada ‘perbincangan’ di atas padang.

Rashford dalam akaun Twitternya mengeluarkan ciapan mendesak tindakan diambil ke atas pelaku tersebut.

“Cukuplah, perkara ini perlu dihentikan Twitter, Manchester United adalah sebuah keluarga. Paul Pogba merupakan sebahagian besar daripada keluarga ini. Menyerang beliau bermaksud kamu menyerang kami semua.”

Maguire juga terpanggil untuk mendesak Twitter dan Instagram agar melakukan sesuatu bagi menghentikan penyalahgunaan internet sebagai platform menyebarkan kebencian kaum.

“Menjijikkan, pengendali media sosial perlu lakukan sesuatu mengenainya. Setiap akaun yang dibuka perlu disahkan dengan pasport atau lesen memandu. Hentikan pelaku troll itu dari membuat akaun-akaun palsu untuk mendera emosi orang lain,” ciap Maguire.

Red Devils dalam kenyataannya menyebut, mereka akan mengambil tindakan yang sangat tegas terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah di atas isu serangan dan diskriminasi kaum.

“Semua orang di Manchester United merasa sangat jijik dengan serangan perkauman yang disasarkan kepada Paul Pogba malam tadi dan kami serius mengutuk tindakan itu,” tegas United dalam kenyataan rasmi mereka.

“Individu yang menyatakan pandangan keji itu langsungtidak mencerminkan nilai murni kelab ini dan adalah satu kebanggaan juga untuk melihat majoriti penyokong kami mengutuk tindakan (serangan perkauman) berkanaan dalam media sosial.

“Tiada sebarang toleransi terhadap apa-apa bentuk perkauman atau diskriminasi dan kami menjanjikan komitmen untuk menjalankan inisiatif dalam jangka masa panjang melalui kempen #AllRedAllEqual.

“Kami akan berusaha untuk mengenal pasti segelintir pihak yang terlibat dengan insiden berkenaan dan mengambil tindakan tegas dalam bidang kuasa kami. Kami juga menggalakkan pihak pengendali media sosial untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas kes yang berlaku ini.”

Pogba merupakan pemain terbaru dalam bola sepak Inggeris yang berhadapan dengan derita serangan perkauman dalam media sosial selepas perlawanan.

Baru-baru ini, Tammy Abraham juga berhadapan dengan isu sama selepas gagal melakukan penyudah dalam penentuan sepakan penalti ketika pasukannya tewas kepada Liverpool untuk kejuaraan Piala Super UEFA. Namun, penyerang Chelsea itu berjanji akan bangkit untuk mendiamkan pembencinya dengan aksi-aksi lebih baik selepas ini.

Pemain tengah pasukan Reading, Yakou Meite juga tidak terlepas dari diserang secara perkauman selepas pasukannya menang 3-0 berhadapan Cardiff dalam Liga Kejuaraan EFL.

Sebuah kumpulan peminat bola sepak yang mengelarkan diri mereka sebagai ‘Kick It Out” berkata, jumlah pemain yang disasarkan semakin meningkat dan perlu tindakan selanjutnya.

Kenyataan mereka menyerbut, “Perlawanan-perlawanan terbaru musim ini menyaksikan sekali lagi berlaku perkara yang tidak wajar di mana serangan perkauman ditujukan kepada pemain. Kali ini giliran Yakou Meite dan Paul Pogba pula.

“Jumlah hantaran-hantaran berbentuk perkauman seperti ini sejak permulaan musim menunjukkan betapa diskriminasi kaum dalam talian berleluasa dan tidak terkawal.

“Tanpa tindakan tegas dan pantas, tindakan pengecut ini akan terus bercambah pada masa akan datang. Seperti kebiasaan, kami telah menghubungi kelab berkaitan untuk menawarkan sokongan kepada pemain yang terkesan.”

Dalam satu laporan pada awal bulan ini, pihak Twitter bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan Kick It Out selepas kumpulan anti-diskriminasi itu mendesak pengendali media sosial agar segera bertindak dan mempersoalkan apa usaha yang telah dilakukan untuk menangani masalah yang amat berbahaya ini.

“Kami ada sedikit berita baik di mana pihak Twitter telah bersetuju untuk duduk berbincang dengan kami,” jelas jurucakap kumpulan itu, Troy Townsend kepada agensi berita Sky Sports.

“Ini adalah permulaan baik seperti yang kami harapkan. Semoga ada tindakan positif hasil perbincangan ini. Hakikatnya kini mereka sedar tentang isu yang dibangkitkan dan kesudian mereka untuk berjumpa bermaksud kami telah bersedia untuk mengadakan perbincangan selanjutnya.

“Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Tambah beliau lagi.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Kick It Out pada Julai lepas, aduan mengenai isu perkauman dalam arena bola sepak Inggeris bertambah kepada 43 peratus iaitu 274 berbanding 192 pada musim lepas.

Di sebalik pelbagai faktor yang mempengaruhi kewujudan diskriminasi perkauman ini, laporan tentang serangan perkauman dalam bola sepak sama ada di peringkat profesional dan akar umbi kian meningkat sebanyak 32 peratus kepada 422 kes, berbanding 319 kes sepanjang musim 2017/18. 159 laporan diterima melalui media sosial.

Bulan lepas, Chelsea telah mengharamkan seorang penyokongnya dari menjejakkan kaki ke Stamford Bridge buat selama-lamanya berikutan tindakannya menggunakan kata-kata bersifat perkauman dan bersikap agesif semasa perlawanan menentang Manchester City pada 8 Disember 2018.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu juga mengeluarkan larangan memasuki stadium mereka kepada lima lagi penyokong untuk tempoh di antara satu dan dua tahun atas kesalahan yang sama dalam perlawanan tersebut.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN