Piala Malaysia 2019: Jaringan Lewat Permainan Lee Chang-Hoon Bantu PDRM Ikat Selangor

Selangor

PDRM terselamat daripada kehilangan mata walaupun terlebih dahulu mendahului perlawanan apabila mengikat Selangor dengan keputusan 2-2 untuk aksi ke-4 Kumpulan D, Piala Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.

Menuju 10 minit terakhir, Ifedayo Olusegun berjaya memberikan jaringan pendahuluan buat Gergasi Merah namun pemain gantian, Lee Chang-hoon berjaya membantu PDRM untuk mencuri 1 mata.

Biarpun bola lebih banyak dikuasai oleh pelawat, namun PDRM terlebih dahulu mendahului aksi babak pertama hasil jaringan penyerang import, Uche Agba selepas berjaya memperdaya dua pertahanan Selangor sebelum menewaskan Khairulazhan Khalid.

The Cops lebih awal menguji gawang Selangor melalui percubaan Uche Agba dan tandukkan ‎Argzim Redzovic namun gagal untuk mengegar jaring gol. Selangor bangkit untuk menguasai bola namun kekentalan pertahanan tuan rumah berjaya menafikan gerakan yang cuba digerakkan oleh jentera serangan pelawat.

Gergasi Merah memiliki dua peluang terbaik untuk berada di depan namun percubaan Khyril Muhymeen pada minit ke-8 dan ke-15 gagal menemui sasaran apabila tersasar daripada gol.

Minit ke-27, Uche Agba berjaya menewaskan dua pertahanan Selangor sebelum menewaskan Khairulazhan Khalid menerusi rembatan deras kaki kirinya dari bahagian kanan gawang pelawat – jaringan peribadi pertamanya dalam saingan Piala Malaysia.

Terkejut dengan jaringan itu, Selangor terus mempamerkan penguasaan bola namun apa yang direncanakan oleh jentera tengah dan serangan gagal melepasi benteng PDRM yang cemerlang ditunjangi oleh Azmizi Azmi dan penjaga gawang, Shahril Saari yang berterusan menafikan percubaan pelawat.

Minit ke-52, Selangor terlepas lagi peluang untuk menjaringkan gol apabila tandukkan Khyril Muhymeen hanya tersasar daripada gawang yang dikawal Shahril Saari selepas menerima hantaran sepakan percuma oleh pemain tengah, Sandro da SIlva.

Shahril Saari berjaya menepis percubaan deras Syahmi Safari di minit ke-56 dan Kyril Muhymeen di minit ke-67 untuk terus menafikan peluang Gergasi Merah menyamakan kedudukan.

Akhirnya pada minit ke-69, kapten Selangor, Taylor Regan berjaya menyamakan kedudukan hasil kuisan mudah di depan gawang tuan rumah selepas menerima tandukkan Ifedayo Olusegun yang berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil Sandro da Silva.

The Cops dilihat lebih pasif dengan menunggu Selangor mengasak ke kubu mereka sepanjang aksi di babak kedua dan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kerapuhan benteng tuan rumah. Disiplin bertahan mereka juga sudah kian retak dan longgar.

Minit ke-80, penjaring terbanyak Gergasi Merah, Ifedayo Olusegun berjaya meletakkan pelawat di depan apabila rembatannya berjaya menewaskan Shahril Saari selepas menerima hantaran lintang kemas Syahmi Safari – jaringan keduanya di Piala Malaysia.

Untuk Piala Malaysia, penyerang kelahiran Nigeria itu tampak bergelut untuk menghasilkan gol walaupun sangat cemerlang dalam saingan liga – 12 gol dalam 10 penampilannya.

Begitupun, ia hanya mampu bertahan 7 minit apabila pemain gantian, Lee Chang-hoon berjaya mengikat semula kedudukan menerusi jaringan keduanya di Piala Malaysia selepas menerima hantaran jauh Uche Agba seterusnya memberikan satu mata buat tuan rumah dalam perlawanan ke-4 Piala Malaysia 2019.

Percubaan B. Satianathan menukar pemain yang terlepas banyak peluang pada aksi malam ini, Khyril Muhymeen dengan Sean Selvaraj juga gagal membantu Selangor untuk memburu gol.

Selangor terlepas peluang untuk memintas pendahulu kumpulan, Melaka United yang akan beraksi pada Sabtu menentang FELDA United apabila terikat enam mata – berkelebihan perbezaan gol.

PDRM kekal mengejar dekat Selangor di belakang dengan hanya kekurangan satu mata di kedudukan ke-3 kumpulan dan masih berpeluang untuk mara sehingga ke peringkat suku akhir.

Kredit foto: PDRM FA ‘THE COPS’

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN