Quantcast

MPFL

MPFL 2019: Perak Benam Cabaran Kuala Lumpur 4-2

Perak mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut selepas berjaya menundukkan Kuala Lumpur 4-2 dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 di Stadium Indera Mulia, sebentar tadi.

Perak menekan kubu lawan seawal minit pertama menerusi Mohamad Awalluddin Mat Nawi tetapi percubaan pemain skuad kebangsaan itu  dinafikan penjaga gol, Mohd Alif Haiqal Mohd Zaini.

Penguasaan bola yang ditunjukkan skuad pelawat selepas itu tidak mampu menghadirkan jaringan, sebaliknya Perak terlebih dahulu dihadapan menerusi Mohd Ridzwan Bakri.

Jaringan itu menjelma pada minit ke-11 selepas Ridzwan menyudahkan dengan baik hantaran dilakukan Mohd Syarul Nizam Ag Hassan.

Kegembiraan Perak bagaimanapun hanya bertahan seminit apabila Saiful Aula Ahmad kembali mengikat kedudukan setelah beliau menerima hantaran daripada Amirul Sugito.

Ridzwan sekali lagi menemui sentuhan jaringan apabila rembatannya yang membias terkena pertahanan gagal dijangkau Alif Haiqal untuk meletakkan Perak kembali dihadapan pada minit ke-19.

Bagaikan mendapat tonik berguna, Perak tampil lebih tajam dihadapan gol sehingga berjaya menambah dua lagi jaringan pada 20 minit terakhir.

Muhammad Firdaus Zulkefli terus menggembirakan penyokong tuan rumah dengan jaringan ketiga pada minit ke-25 hasil kuisan mudah ketika pertahanan dan Aliq Haiqal sudah pun tertewas.

Tidak cukup dengan tiga jaringan tersebut, Awalluddin menambah jaringan bagi mengukuhkan kedudukan menerusi tolakan leret yang melepasi celah kaki Alif Haiqal di minit ke-33.

Kapten Kuala Lumpur, Hazizi Mansor berusaha untuk mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-39 tetapi ia belum mampu untuk menghalang kemenangan kelima buat Perak musim ini.

Kredit foto: Football Association of Malaysia (Official)