“Inilah masa untuk kami menyinar. Saya telah berjaya menaikkan moral rakan sepasukan di Larkin dan kini, kami ada keyakinan untuk menyerlah di hadapan penyokong sendiri,” ujar peledak Selangor, Ifedayo Olusegun yang dipetik daripada portal The Star.
Penyerang import berbahaya Selangor itu berjaya menjaringkan satu gol untuk dibawa pulang ke Shah Alam untuk aksi minggu ini. Pada aksi yang berlangsung Sabtu lalu, Gergasi Merah tewas 1-2 kepada juara edisi 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin.
Bercerita mengenai aksi minggu lalu, penyerang berusia 28 tahun itu menyatakan yang tuah tidak berpihak kepada mereka walaupun sepanjang perlawanan, Selangor dilihat mampu membuat kejutan.
“Kami telah bekerja keras di Larkin dan kami memiliki lebih banyak peluang dalam perlawanan tersebut. Dua kali percubaan kami telah mengegar tiang. Tiada tuah untuk kami di sana tetapi saya harap tuah akan bersama kami di Shah Alam nanti,” jelasnya lagi.
Ifedayo Olusegun telah meledak lima gol dalam kempen Piala Malaysia itu juga membara untuk memburu kejuaraan ketiganya tahun ini selepas membantu kelab lamanya, Al-Raffa memenangi dua piala di Liga Bahrain sebelum menyertai Selangor pada Mei.
Untuk merealisasikannya, penyerang kelahiran Nigeria itu perlu membantu Gergasi Merah menewaskan JDT 1-0 di gelanggang sendiri dan pastinya ia tugas yang sukar apabila melihatkan jentera serangan lawan yang mustahil untuk tidak menjaringkan gol.
“Motivasi saya bermain bola sepak adalah untuk memenangi kejuaraan. Saya tinggalkan Al-Raffa selepas meraih dua trofi dan saya mahu mengakhiri tahun 2019 dengan memenangi Piala Malaysia,” ujar penjaring 12 gol Selangor di Liga Super 2019.
“Kali terakhir Selangor meraih trofi adalah pada 2015 iaitu Piala Malaysia. Untuk kelab yang memiliki barisan jurulatih, pengurusan dan pemain-pemain yang bagus, mereka layak untuk meraih sekurang-kurangnya satu trofi sebelum berakhir musim ini.
“Sesi latihan adalah seperti biasa, tetapi apa yang memberikan kelebihan buat kami adalah motivasi. Satu gol di tempat lawan itu sangat berharga dan kami akan lakukan apa sahaja untuk membawa pasukan ke pentas akhir,” tambahnya lagi.
“Kami memerlukan pemain ke-12 kami di Shah Alam,” tutur Ifedayo Olusegun sebelum menutup bicaranya.
Kredit Featured Image: NSTP/SADDAM YUSOFF