“Apa saya boleh cakap, ianya berbaloi! Saya balik dari kursus terus ke sini untuk bawa pasukan dan paling penting, tiga mata malam ini,” tutur pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak di sidang media.
Pengendali muda tersebut nyata gembira perubahan taktikalnya membuahkan hasil apabila Kedah telah bangkit dua kali untuk mengikat kedudukan seterusnya meraih tiga mata penting.
Memanfaatkan aksi di Darul Aman, Kedah berjaya memperolehi kemenangan kedua selepas menang 3-2 ke atas PKNS FC dalam perlawanan keempat Kumpulan A, Piala Malaysia 2019, malam tadi.
Pelawat telah mendahului aksi menerusi jaringan Romel Morales sebelum sentuhan mudah Jonatan Bauman di depan gawang membantu untuk tuan rumah mengikat kedudukan. PKNS FC jarang sekali mengasak kubu Kedah namun berhasil sekali lagi untuk berada di depan hasil tandukkan Nicholas Swirad.
Segalanya berubah pada 10 minit terakhir apabila Aidil Sharin merubah posisi Baddrol Bakhtiar ke posisi sayap kanan. Ianya telah berhasil menambah aliran hantaran lintang ke dalam kotak penalti pelawat dan akhirnya Jonatan Bauman sekali lagi meledak gol.
Bek sayap kiri Helang Merah, Alif Yusof akhirnya menjaringkan gol yang dicari-cari di minit akhir perlawanan untuk menghadiahkan Kedah tiga mata penuh dan kemenangan di laman sendiri.
“Saya buat satu perubahan taktikal, kita letak Baddrol (Bakhtiar) ke kanan kerana kita perlu bola di tepi untuk hantaran lintang. Kita tahu apa kelemahan PKNS FC dan alhamdulillah, kita dapat gol.
“Kita tidak dapat tiga mata di Shah Alam, tetapi alhamdulillah malam ini kita tidak menyerah kalah walaupun PKNS FC mendahului aksi dua kali, kita buat kebangkitan,” ujarnya.
Mengulas mengenai prestasi Jonatan Bauman yang meledak dua gol untuk mengikat PKNS FC, pengendali kelahiran Singapura itu gembira dengan apa yang dipamerkan penyerang tersebut.
“Dua gol daripada dia (Jonatan Bauman), kita tidak boleh cakap hari ini dia tidak main baik. Hari ini dia bagi 100% (komitmen),” ulasnya sambil menjelaskan semua pemain turut sama memberikan komitmen yang tinggi membantu pasukan memburu kemenangan.
Prestasi Jonatan Bauman dan Fernando Rodriguez menjadi bualan hangat dikalangan penyokong Kedah kerana sering kali telah gagal menterjemahkan peluang kepada jaringan – dan ini turut berlaku di dalam perlawanan menentang PKNS FC pada malam tadi.
Kedah menguasai perlawanan dengan deretan peluang tetapi gagal menjaringkan gol sedangkan lawan hanya mengasak kubu tuan rumah beberapa kali dan berjaya meledak dua gol.
“Permulaan dia datang dengan baik, prestasi yang baik. Tapi lepas kecederaan, terdapat kekurangan dalam serangannya. Namun, itulah bola sepak, kita tidak boleh dapat yang terbaik sentiasa.
“Yang penting, dia bangkit dan tunjuk dia mahu bantu pasukan,” tambah Aidil Sharin mengenai penyerang berusia 28 tahun itu.
Aidil Sharin turut mendedahkan sedikit half time talk di bilik persalinan sebelum aksi babak kedua bermula, “Ayuh, ini Darul Aman. Kita tidak mahu kalah lagi macam dengan Terengganu. Kita menguasai perlawanan, tetapi kita bagi lawan jaringkan gol.”
Dan hasilnya, pemain-pemainnya bangkit di babak kedua untuk meraih tiga mata penting. Pada aksi berdepan Terengganu FC, lawan itu telah meleburkan rekod tanpa kalah Helang Merah di Darul Aman yang dipegang sejak Julai tahun lalu.
Kedah mengumpul 7 mata selepas empat perlawanan dan berada di kedudukan kedua Kumpulan A, 2 mata di belakang Terengganu FC yang akan turun menentang Negeri Sembilan pada Jumaat.
Kredit foto: Kedah FA – Persatuan Bolasepak Kedah