Piala Malaysia 2019: Rajagobal Enggan Salahkan Pemain, Fokus Hadapi Baki Dua Perlawanan Terakhir

PKNS FC

Hasrat Ketua Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal yang mahu pasukannya meneruskan momentum kemenangan tidak kesampaian selepas mereka tumpas 2-3 kepada pasukan Kedah malam tadi di Stadium Darul Aman.

Sekalipun The Red Ants dua kali mendahului pasukan tuan rumah, namun kelekaan dalam 10 minit terakhir menyebabkan mereka terlepas peluang untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata di tempat lawan.

PKNS FC kini menduduki tangga ketiga dalam kumpulan A dengan empat mata. Dengan berbaki dua perlawanan, pasukan itu masih berpeluang untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

Syaratnya mereka perlu pastikan enam mata maksimum mampu dicapai apabila dijadualkan bertemu Terengganu FC (TFC) dan Negeri Sembilan dalam perlawanan seterusnya serta mengharapkan pasukan lain keciciran mata.

Datuk K. Rajagobal semasa ditemubual pihak RTM selepas perlawanan malam tadi memaklumkan, beliau mahu anak buahnya mempunyai keyakinan walaupun mereka cuma ada baki dua perlawanan sahaja lagi.

“Kita tengoklah macam mana (perlawanan) dalam kempen Piala Malaysia yang seterusnya. Saya tidak boleh salahkan pemain-pemain saya. Mereka telah menunjukkan satu komitmen yang baik. Hanya pada minit-minit terakhir ini, mungkin pemain saya tidak ada kekuatan mental dan karakter terutama pemain-pemain gantian.

“Jadi saya mahu kita perlu teruskan kempen dan kita akan lihat apa yang akan terjadi pada keputusan (perlawanan) yang lain.”

PKNS terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-30 selepas rembatan Romel Morales dari luar kotak penalti terbias oleh pemain pertahanan kedah sebelum menjunam masuk ke gawang Kedah. Gol tunggal itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Lima minit selepas separuh masa kedua bermula, Kedah menyamakan kedudukan melalui jaringan dari sepakan percuma Edgar Bernhart. PKNS kembali mendahului pada minit ke-70 selepas Nicholas Swirad menanduk masuk gol kedua hasil hantaran dari sepakan penjuru Akram Mahinan.

Penyerang Kedah Jonatan Baumann kembali menyamakan kedudukan buat Kedah melalui tandukan hasil hantaran lintang Baddrol Bakhtiar ketika masa perlawanan berbaki 7 minit. Ketika pemain PKNS FC dilihat seakan-akan berpuas hati dengan keputusan seri, bek kiri Kedah, Alif Yusof muncul wira Lang Merah selepas rembatan derasnya meletakkan Kedah di hadapan pada minit-minit akhir perlawanan.

Jadual perlawanan PKNS FC seterusnya adalah pada 13 September akan datang menentang Negeri Sembilan. Sabtu ini beberapa pemain PKNS FC dan Selangor akan dipanggil untuk membentuk pasukan Pilihan Selangor bagi merebut Piala Sultan Selangor yang telah memasuki edisi ke-18.

Kredit foto: PKNS FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN