Pertemuan Perak dengan PKNS FC di peringkat suku akhir Piala Malaysia dijangka akan menghadirkan saingan yang sengit apatah lagi keputusan perlawanan selalunya tidak memihak kepada skuad The Bos Gaurus itu.
Biarpun tewas 1-2 kepada Felcra FC dalam aksi terakhir Kumpulan A, Sabtu lalu, pengendali pasukan itu, Mehmet Durakovic mahu membuat persiapan rapi untuk menghapuskan badi tewas kepada PKNS FC.
Bagi mengekalkan matlamat mereka menjulang kejuaraan itu, sekali gus menamatkan kemarau 18 tahun tanpa trofi berprestij itu, Mehmet mahu pastikan semua pemainnya berada di tahap kecergasan terbaik.
“Bukan sesuatu yang mudah jika kalah tetapi sejujurnya saya gembira dengan pencapaian pasukan. Saya berpuas hati dengan kemajuan mereka.
“Kini kita memberi tumpuan berdepan PKNS FC. Kita akan kembali ke Ipoh dan membuat persiapan bagi membentuk pasukan mantap menjelang perlawanan itu.
“PKNS sebuah pasukan sangat bagus, prestasi pemain mereka hebat. Mereka memiliki pemain tempatan sangat baik dan berpengalaman.
“Saya jangkakan perlawanan sengit, namun jika pemain beraksi dengan corak permainan ditampilkan sebelum ini, kita mampu memberi tentangan sengit kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan rekod pertemuan musim ini, ia jelas memihak kepada PKNS FC apabila mereka mencatat 3 kemenangan serta 1 seri dalam 4 pertemuan ke atas Perak dalam saingan Liga Super dan Piala FA.
Malah, PKNS FC juga pernah mengecewakan Perak yang mahu dinobatkan sebagai naib juara Liga Super lebih awal apabila mudah menewaskan mereka, 4-1 di Stadium Shah Alam.
Selain itu, mereka juga menyingkirkan Perak di peringkat suku akhir Piala FA melalui agregat 4-3.
Saingan suku akhir Piala Malaysia 2018 musim ini menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu juara 2013 dan 2014 Pahang, manakala Sabah bertemu Kelantan. Felda United juga bakal membuat penghitungan dengan Terengganu FC.