Tugas berat sedang menanti pasukan FELDA United apabila dijadualkan berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka untuk aksi suku akhir pertama Piala Malaysia malam ini.
Ini kerana mereka bakal turun dengan skuad tempang tanpa kelibat tonggak import mereka yang juga penjaring terbanyak dalam kempen Piala Malaysia musim ini, Thiago Augusto Fernandes serta dua lagi tonggak utama, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Hadin Azman yang masih dibelenggu kecederaan.
Pengendali FELDA, B Sathianathan berkata kepada Berita Harian mengakui aksi menentang skuad Penyu itu dijangka lebih sukar walaupun memiliki sedikit kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
“Perlawanan esok memang sukar, kami turun tanpa beberapa tonggak yang mana Thiago dan Wan Zack antara penjaring terbanyak pasukan.
“Malah, kami akan jumpa pasukan gergasi Liga Super yang berada pada prestasi terbaik selain menjadi antara pasukan yang paling banyak meledak gol dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
“Jadi kami berdepan tekanan kerana persembahan TFC ketika ini amat baik dan memiliki jurulatih berpengalaman,” katanya.
Selain itu, Sathianathan menuntut aksi lebih kebal daripada benteng pertahanan skuad The Fighters bagi menafikan TFC meraih kelebihan gol di tempat lawan.
“Kalau kami bolos satu gol saja pasti akan membawa padah kerana mereka ada kelebihan. Fokus utama kami mengelak daripada dibolosi.
“Kami perlu memberi tumpuan kepada tiga pemain mereka, Kipre Tchetche, Lee Tuck dan Ashari Samsudin yang menjadi antara penjaring terbanyak mereka dalam Piala Malaysia,” katanya.
Skuad kendalian Irfan Bakti ini mara ke suku akhir walaupun tewas 2-3 kepada Kuala Lumpur pada aksi terakhir peringkat kumpulan dan turut muncul juara Kumpulan A selepas mengumpulkan 10 mata.
Manakala FELDA mara ke suku akhir Piala Malaysia selaku naib juara Kumpulan B selepas mengumpul 10 mata dalam enam perlawanan.