Jurulatih Felda United, B. Sathianathan memberi amaran kepada pemainnya agar tidak mengambil mudah pada cabaran Kedah di gelanggang sendiri apabila melayan kunjungan pasukan lawan bagi aksi separuh akhir pertama trofi berprestij itu, Ahad ini.
Menurutnya, anak buahnya perlu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk membawa bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di Stadium Darul Aman, 21 Oktober ini.
“Kami tidak boleh ulangi kesilapan sama ketika tewas dengan jaringan yang besar kepada PKNP pada perlawanan pertama (suku akhir) di gelanggang sendiri.
“Kedah bukan macam PKNP, mereka pasukan yang lebih kuat. Kalau kami tewas 1-0 pun mungkin sukar untuk bangkit balik di tempat mereka nanti.
“Walaupun kami pernah tewaskan Kedah 3-1 dalam saingan Liga Super di Darul Aman, namun harus diingat ketika itu mereka tidak menurunkan kesebelasan utama,” kata Sathianathan kepada Berita Harian.
Sathia juga yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk mencipta sejarah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2017.
“Memang Kedah memiliki barisan pemain terbaik, namun kami juga ada peluang. Saya yakin pemain saya akan memberi tentangan yang sengit,” katanya.
Bulan lepas, FeldaUnited menunjukkan kebangkitan luar biasa pada suku akhir kedua selepas menewaskan PKNP FC 4-1 di Stadium Shah Alam untuk mara ke separuh akhir dengan agregat 5-4.