Al Ain yang tampil dalam kejohanan ini selaku tuan rumah melakukan kejutan dengan menewaskan River Plate melalui penentuan sepakan penalti untuk mara ke perlawanan akhir Piala Kelab Dunia.
Penjaga gol, Khalid Essa menyelamatkan sepakan penalti Enzo Perez setelah kelab yang berpengkalan di Abu Dhabi itu menyempurnakan kesemua sepakan mereka.
Perlawanan asal 90 minit sebelum itu berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Marcus Berg memberikan kejutan buat Al Ain apabila mendahuli juara Copa Libertadores itu seawal minit ke-3 perlawanan. River Plate pantas bangkit apabila menyamakan kedudukan sebelum mendahului melalui dua gol pantas Rafael Santos Borre pada minit ke-11, dan ke-13 perlawanan.
Lucas Fernandes berjaya menemukan jaringan penyamaan buat Al Ain di babak kedua – turut menyaksikan Gonzalo Martinez mensia-siakan peluang melalui sepakan penalti untuk River Plate.
Al Ain akan berhadapan sama ada Real Madrid atau pun Kashima Antlers dalam satu lagi perlawanan separuh akhir pada hari ini – sebelum perlawanan akhir mengambil tempat pada Sabtu hadapan di Abu Dhabi.
River Plate adalah pasukan pilihan untuk mara ke perlawanan akhir selepas kelab Argentina itu menewaskan seteru mereka Boca Juniors di Madrid dalam perlawanan akhir Copa Libertadores.
Namun semuanya jelas tidak kena menentang juara UAE Pro League, Al Ain – setelah ketinggalan seawal minit ke-3 dan terlepas peluang melalui sepakan penalti di babak kedua perlawanan.
Al Ain terlebih dahulu perlu menewaskan juara Oceania, Team Wellington – juga melalui penentian sepakan penalti – di pusingan pertama, sebelum mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas wakil Afrika, Esperance de Tunis sebelum berhadapan River Plate.