Tim Krul menjadi hero Norwich City selepas menyelamatkan dua sepakan penalti pemain Tottenham Hotspur untuk melayakkan pasukannya ke suku akhir Piala FA pertama dalam masa 28 tahun. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar.
Ini adalah kali kedua penjaga gol Belanda ini menghantui Spurs. Kali pertama adalah pada musim 2013/2014 apabila beliau mencipta 14 aksi penyelamat; rekod save paling banyak dalam satu perlawanan Premier League. Aksi hebat ini membolehkan bekas pasukannya, Newcastle menewaskan Spurs 1-0.
Norwich pada mulanya ketinggalan ketika permulaan penentuan sepakan penalti selepas sepakan Kenny McLean diselamatkan Michel Vorm.
Tetapi apabila sepakan Erik Lamela singgah ke palang dan Tim Krul menepis sepakan Troy Parrot dan Gedson Fernandes, Norwich menyambut kejayaan mereka dengan 9,000 penyokong.
Gol pembukaan Spurs dijaringkan pada minit ke-13 menerusi tandukan padu Jan Vertonghen hasil hantaran lintang cantik Giovani Lo Celso.
Tetapi selepas itu, Norwich memaksa Spurs berkampung seketika dengan serangan bertali-arus. Vorm dua kali terpaksa melakukan aksi penyelamat hebat untuk menafikan percubaan Emiliano Buendia dan Lukas Rupp.
Ketika Norwich nampak seperti nasib tidak menyebelahi mereka, The Canaries akhirnya mendapat gol penyamaan pada minit ke-78 selepas Vorm gagal menangkap kemas rembatan deras McLean.
Selepas itu, anak buah Jose Mourinho nampak boleh menyelamatkan perlawanan daripada dibawa hingga ke penentuan penalti. Tetapi percubaan Serge Aurier diselamatkan oleh pertahanan Ben Godfrey. Apabila tiada gol dijaringkan pada masa lanjutan, Norwich memanfaatkan tuah penentuan penalti.
Pada suku akhir Piala FA nanti, skuad kendalian Daniel Farke akan bertemu pemenang antara Derby County dan Manchester United yang akan bermain esok.
Banyak lagi kerja Mourinho
Masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan oleh pengurus Tottenham Hotspur ini jika mahu mengisi kabinet trofi pasukannya yang kosong sejak 12 tahun lepas. Kali terakhir Spurs menang piala adalah pada 2008 ketika menjuarai League Cup.
Dalam Piala FA pula, kali terakhir mereka bergelar juara adalah pada 1991.
Tugas sukar menanti Mourinho memandangkan Spurs sedang ketinggalan 0-1 secara agregat kepada RB Leipzig dalam UEFA Champions League.
Mourinho yang dikenali kerana sentiasa berjaya memperbaik pertahanan pasukan yang dilatihnya, kini mencatat hanya dua nirbolos (clean sheet) dalam 13 perlawanan di halaman sendiri.
Aspek positif yang mungkin boleh diambil oleh pengurus berbangsa Portugal ini adalah persembahan mantap Oliver Skipp di tengah dan Lo Celso.
Lo Celso boleh menjaringkan gol kemenangan Spurs jika tidak kerana kecekapan Krul dan kegopohan Fernandes menyudahkan peluang.
Tanpa kapten berkaliber, Harry Kane dan penyerang Son Heung-min, Spurs sukar menyudahkan peluang walaupun selepas memasukkan penyerang muda Troy Parrot pada masa lanjutan.