Terengganu bermula dengan langkah kanan musim ini dalam aksi pusingan pertama Piala FA apabila berjaya menundukkan cabaran Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, semalam.
Walaupun mendapat tentangan sengit daripada pelawat, disiplin yang tinggi berjaya dipamerkan oleh anak buah Nafuzi Zain untuk bermain dengan baik selain memanfaatkan setiap peluang dengan siri-siri percubaan yang berbahaya.
📸 AKSI PERLAWANAN FA1
TERENGGANU FC 2-1 NEGERI SEMBILAN FC#PialaFA2022 pic.twitter.com/lcqmqjxBGg
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 29, 2022
Untuk Negeri Sembilan, mereka gagal untuk meneruskan momentum terbaik seperti yang diperagakan dalam saingan Liga Super walaupun beraksi dengan sangat baik terutama sekali dakan aksi separuh masa kedua.
Beraksi di laman sendiri jelas memberi kelebihan buat Terengganu untuk lebih bermotivasi setelah menerima sokongan padu daripada para penyokong setia serta memberi peluang buat pasukan itu mengawal permainan dengan sangat baik di separuh masa pertama.
Dalam aksi tersebut, Nafuzi telah menggunakan dua penyerang import berbisa iaitu Kpah Sherman dan Kipre Tchetche bagi merangkai serangan dengan kreatif untuk menembusi pertahanan lawan yang agak kebal.
Seawal minit pertama lagi Kipre seolah memberi amaran buat pasukan pelawat setelah pemain tersebut berjaya melepaskan rembatan sebelum bola sedikit tersasar dari gawang gol hasil serangan pantas yang dibuat.
Perlawanan di separuh masa pertama jelas dikuasai dengan baik oleh Terengganu sambil anak buah K. Devan hanya sempat mencipta bentuk serangan balas sahaja setelah lebih banyak menyerap asakan tuan rumah.
Faisal Halim hampir membuka jaringan sulung permainan setelah gerakan lincah tersebut berjaya mengelirukan pertahanan lawan di sebelah tepi sebelum rembatannya berjaya dihalang oleh Syihan Hazmi pada minit ke-20.
Enggan memberi ruang buat Negeri Sembilan, nyata anak buah Nafuzi Zain semakin bernafsu mencipta ruang bagi mencari gol awal permainan dan giliran Sherman pula melepaskan peluang terhidang apabila bola lorongan Habib Haroon berjaya sekali lagi diselamatkan oleh Syihan setelah larian penyerang tersebut sedikit lambat.
Hasil hantaran silang cantik daripada Syafik Ismail dari sebelah kiri Negeri Sembilan, akhirnya Terengganu berjaya memperoleh gol awal permainan setelah bola hantaran tersebut terkena kepada Herold Goulon yang tak sengaja tertampan ke dalam gawang gol sendiri bagi meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-28.
Enggan mengalah dengan lebih awal, Negeri Sembilan kembali bangkit menyamakan kedudukan semasa apabila pemain tengah import mereka iaitu Omid Nazari kembali menceriakan kem pelawat setelah berjaya menanduk masuk bola hantaran Annas Rahmat lima minit selepas itu.
Pada minit ke-38, giliran pemain lincah Terengganu iaitu Faisal Halim pula kembali menjarakkan kedudukan semasa setelah beliau berjaya melepasi dua pertahanan hasil kelicikan yang ada sebelum menyudahkan peluang yang terbuka bagi meletakkan tuan rumah mendahului dengan keputusan semasa, 2-1.
📹 HIGHLIGHTS: @FCTerengganu 2-1 @nsfc1923
Terengganu FC menempah slot di Pusingan Kedua dengan kemenangan ini hasil jaringan Faisal Halim dan gol sendiri Herold Goulon. Omid Nazari menyumbang jaringan Negeri Sembilan.#PialaFA2022 pic.twitter.com/x4bXP3iHkP
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 29, 2022
K. Devan telah merombak kesebelasan utama di separuh masa kedua setelah dua pemain import serangan iaitu David Mawutor dan Kossi Adetu dibawa masuk untuk memperkukuhkan Negeri Sembilan dalam usaha mencari gol penyamaan.
Perubahan tersebut dilihat berhasil apabila pasukan pelawat mampu mengimbangi permainan berbanding aksi di separuh masa pertama di mana mereka lebih banyak bertahan di kubu sendiri.
Namun, kekebalan benteng akhir Terengganu menghalang Negeri Sembilan untuk memperoleh gol penyamaan.
Sebaliknya, tuan rumah hampir memperoleh gol ketiga mereka menerusi Kpah Sherman setelah kesilapan kecil yang dibuat oleh pertahanan Negeri Sembilan dimanfaatkan oleh penyerang itu pada minit ke-71 sebelum tolakan bola tersebut sedikit tersasar.
Penjaga gol gantian Terengganu, Suhaimi Husin berjaya mempamerkan aksi mantap untuk menafikan percubaan berbahaya David Mawutor yang ingin mencari gol penyamaan buat Negeri Sembilan setelah sebelum itu beliau dibawa masuk menggantikan khidmat Rahadiazli yang mengalami kecederaan.
Keputusan tersebut kekal sehingga wisel separuh masa kedua dibunyikan dengan Terengganu bakal berdepan Kedah Darul Aman di pusingan kedua Piala FA selepas ini.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!