Mino Raiola Dikenali Sebagai ‘Super Ejen’ Di Eropah, Siapa Pula Di Malaysia?

'super ejen' Mino Raiola Malaysia siapa

Di Eropah, Mino Raiola adalah ‘super ejen’ kepada pemain-pemain bola sepak terkenal di dunia dan di Malaysia pula, siapa yang boleh diangkat sebagai ‘super ejen’? Sebelum itu, siapa ejen kepada pemain di Malaysia?

Semalam kita telah digemparkan dengan khabar kematian ‘super ejen’ terkenal di Eropah, Mino Raiola sebelum akhirnya pelbagai penafian dikeluarkan sehingga tuan badan sendiri tampil membuat kenyataan situasi dirinya.

Ia sempat trending di Twitter di sebelah lewat petang sebelum di sebelah malam, Mino Raiola sendiri muncul menafikan fitnah ke atas dirinya itu. Menurutnya, dua kali ‘wataknya’ cuba ‘dibunuh’ dalam empat bulan ini.

“Keadaan kesihatan terkini untuk mereka yang tertanya-tanya: Menjengkelkan buat kali kedua dalam tempoh empat bulan mereka ‘bunuh’ saya. Nampaknya masih lagi boleh dihidupkan semula.”

Mano Raiola

Bagi yang belum mengenali sosok tubuh individu ini, beliau adalah ejen pemain bola sepak di Eropah. Mengapa pula ada gelaran ‘super ejen’? Gelaran itu diberikan kepada ejen yang melakukan kerja yang sangat efektif.

Reputasinya termasuk kemahiran berundingnya menunjukkan yang beliau adalah antara individu yang sangat berkuasa berbanding kelab. Beliau sentiasa berjaya mendapatkan perjanjian yang terbaik dan menguntungkan.

Beliau adalah salah seorang ejen bola sepak terkenal dan elit dalam industri serta telah membina reputasi yang mengagumkan. Beliau bertanggungjawab mengendali pemain berprofil tinggi seperti Zlatan Ibrahimovic, Paul Pogba, Mario Balotelli dan Erling Haaland. Itu juga antara salah satu sebab beliau dikenali sebagai ‘super ejen’.

Di Malaysia, siapa pula ejen bola sepak yang terkenal? Hendak kita angkat sebagai ‘super ejen’ agak mustahil kerana industri ini masih belum berkembang di Malaysia. Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), setakat 2018, hanya empat ejen pemain berdaftar dengan mereka – tiga ejen tempatan dan satu asing.

Mungkin situasi itu telah berubah selepas penekanan oleh FAM ini dengan lebih banyak agensi berdaftar.

Kita akan cuba melihat beberapa agensi ejen pemain yang terkenal di Malaysia setakat ini. Ia berdasarkan beberapa urusan perpindahan pemain yang telah dikendalikan ejen-ejen tersebut di saingan Liga Malaysia.

Effendi Jagan Abdullah (Action Football Asia (M) Sdn Bhd)

Masih ingat pemain-pemain seperti Juan Arostegui, Bruno Martelotto, Brian Fuentes dan Marlon Alex James? Effendi Jagan Abdullah adalah individu yang bertanggungjawab untuk membawa mereka ke Liga Malaysia.

Selain pemain di atas, pemain seperti Christian Bekamenga, Bernard Huggins dan Marcos Tavares juga antara pemain import yang berkualiti yang telah dibawanya. Impak yang ditinggalkan mereka bukanlah biasa-biasa.

Untuk pemain-pemain bola sepak terkini yang dikendalikannya adalah seperti Romel Morales (KL City FC), Sam Somerville (Selangor FC), Ahmad Syihan Hazmi (Negeri Sembilan FC) dan Adib Zainuddin (Terengganu FC).

Kiko Insa (InsaProject Global Group di bawah Ruiz & Gomez Agency)

Melihat nama agensi ejen pemain ini kita sudah boleh menelah, milik siapakah agensi ini. Adik beradik Insa iaitu, Natxo Insa dan Kiko Insa mengendalikan agensi ini dengan beberapa pemain majoritinya beraksi di Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah di bawah kendalian agensi tersebut iaitu Bergson da Silva, Corbin Ong dan Shane Lowry.

Pemain-pemain lain yang berada dalam agensi ini antaranya Syahrian Abimanyu, Faiq Bolkiah dan Rajaei Ayed.

Disebabkan Natxo Insa masih beraksi, mungkin penggerak utama agensi ini adalah Kiko Insa, bekas pemain JDT yang merupakan pemain kacukan Malaysia-Sepanyol. Beliau memiliki enam penampilan Harimau Malaya.

Joe Estrada (Joe Estrada Sports Agency)

Agensi bola sepak yang pernah menimbulkan sensasi melibatkan isu perpindahan pengendali Terengganu, Nafuzi Zain sekitar September tahun lalu. Ia menimbulkan kemarahan para penyokong Terengganu dek kerana pendedahan yang tidak sepatutnya. Beliau sekali lagi terlibat dalam isu kelab luar mahu pancing Faisal Halim.

Faisal Halim adalah salah seorang pemain Terengganu di bawah agensinya selain Hakimi Abdullah dan Nik Akif Syahiran. Beliau juga dilihat menguruskan pemain KL City, Akram Mahinan dan Saddil Ramdani (Sabah FC).

Untuk pemain import selain Saddil Ramdani, pemain seperti Sandro Mendonca, Paulo Rangel dan Andik Vermansyah juga pernah berada di bawahnya. Kini, beliau dilihat banyak mengendalikan pemain tempatan.

Syed Qamarul Firdaus Samat (I One Sports Agency)

Senarai pemain yang berada di bawah naugan agensi ini dilihat berada di Sri Pahang seperti Azwan Aripin, Fandi Othman dan Wan Amirzafran selain pemain yang mahu dinaturalisasikan oleh Tok Gajah, Sergio Aguero.

Pemain-pemain di bawah agensi ini tidaklah berprofil tinggi sebagaimana tiga agensi di atas, namun mungkin Syed Qamarul akan menguruskan pemain-pemain beprofil tinggi selepas ini. Dua pemain import Kedah Darul Aman musim ini dilihat adalah di bawah kendalian agensi ini iaitu Jang Suk-won dan Dennis Buschening.

Dennis Buschening dan Sergio Aguero juga dilihat kurang memberi impak dalam arena bola sepak tempatan.

Jadi, berdasarkan empat agensi yang disebutkan, siapa yang boleh kita iktiraf sebagai ‘super ejen’ di Malaysia? Mungkin tidak sampai ke taraf ‘super ejen’, namun pemain dari agensi mana yang memberi impak berkesan di saingan Liga Malaysia? Ikuti juga perkongsian bagaimana untuk menjadi ejen menerusi artikel di bawah ini.

Siapakah Yang Bawa Juan Arostegui, Bruno Martelotto & Marlon Alex James Ke Liga M?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN