PJ City terpaksa berhempas pulas di laman sendiri sebelum berjaya mencipta kemenangan di laman sendiri untuk mengalahkan pencabar, Kelantan dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2022 di Stadium MBPJ sebentar tadi dengan keputusan penuh, 2-1.
Seawal lima minit permainan menyaksikan kedua pasukan saling berbalas serangan dengan intensiti perlawanan yang tinggi untuk saling mencari gol pertama pada separuh masa pertama.
Kelantan terlebih dahulu mencipta satu peluang menerusi Fadel Antar yang melepaskan rembatan pada minit ke-2 namun rembatan beliau jauh tersasar tinggi, diikuti juga percubaan oleh Salamon Raj pada minit ke-4 yang juga jauh meliar melepas gawang gol.
10 minit permainan jelas penguasaan menjadi milik pasukan pelawat iaitu Kelantan yang tidak henti membuat serangan ke atas kubu lawan menerusi gerakan lincah oleh Belfort, namun penyudah yang dicari belum menjelma.
Kogileswaran berjaya mencipta satu peluang untuk menjaringkan gol pertama perlawanan, namun percubaan deras beliau dari sebelah kiri berjaya ditepis oleh penjaga gol lawan pada minit ke-15.
Fadel Antar berjaya membuka akaun jaringan pertamanya untuk Kelantan pada minit ke-18 setelah situasi kelam kabut berlaku dalam petak penalti PJ City sebelum bola dihantar oleh Nixon dan disudahkan oleh pemain kebangsaan Lubnan ini.
Enggan mengalah lebih awal, PJ City tidak menunggu lama mencipta gol penyamaan menerusi penyerang kebangsaan, Darren Lok pada minit ke-24 yang menanduk kencang bola untuk menewaskan Ahmad Solehin dengan keputusan semasa 1-1.
Separuh masa kedua menyaksikan kedua pasukan terus mempamerkan rentak permainan menyerang antara satu sama lain bagi mencari gol untuk menjarakkan keputusan semasa antara satu sama lain.
65 minit permainan berlangsung menyaksikan Kelantan lebih bertenaga dan teratur menyusun serangan terutama sekali menerusi pemain gantian, Fazrul Amir yang lincah membuat larian dari sebelah kanan.
Belfort terlepas peluang besar untuk mendahului perlawanan apabila rembatan kaki kanannya sedikit sahaja tersasar tatkala gawang gol sudah terbuka luas pada minit ke-76 setelah menerima umpanan cantik daripada Fadel Antar.
Saat Kelantan sibuk mengatur serangan, hadir P.Rajes memberi khabar gembira buat PJ City dengan meledak gol kedua tuan rumah menerusi tandukan kencang hasil hantaran S.Kumaahran pada minit ke-80.
Keputusan kekal dengan PJ City 2-1 Kelantan untuk melayakkan skuad kendalian P.Maniam beraksi di pusingan seterusnya. Manakala Kelantan, mereka terpaksa menelan keputusan ini walaupun dilihat lebih mendominasi perlawanan dengan siri-siri serangan berbahaya dicipta.
Kesebelasan utama Kelantan
Ahmad Solehin (Penjaga Gol)
Khairul Helmi
Yusri Yuhasmadi (Kapten)
Danial Hadri
Arip Amiruddin
Syed Sobri
Dani Armin
Kerverns Belfort
Natanael Siringoringo
Fadel Antar
Nixon Guylherme
Kesebelasan utama Petaling Jaya City
Kalamullah (Penjaga Gol)
Aroon Kumar
Mohammad Raffi
Kannan
Mohamad Nasir
Kogileswaran
Kugan
Khyril Muhymeen (Kapten)
Prabakaran
Salamon Raj
Darren Lok