Pasca pemergian kapten dan penyerang terbaik PKNP FC, Shahrel Fikri akan teruji dalam aksi separuh akhir kedua Shopee Piala FA menentang Pahang di Stadium Perak pada malam ini.
Dalam saingan separuh akhir pertama, PKNP FC berjaya mengikat Tok Gajah dengan keputusan 1-1 hasil jaringan Wan Zaharulnizam dan Sukri Hamid di Stadium Darul Makmur, Pahang.
PKNP FC ketika ini memiliki sedikit kelebihan iaitu satu gol di tempat lawan, namun harus diingat, tempohari Pahang turun tanpa tiga tonggak utamanya yang digantung perlawanan.
Faktor Eky
PKNP FC jelas bergantung kepada inspirasi kapten, Shahrel Fikri dalam sebarang saingan yang melibatkan mereka. Tanpanya, PKNP FC dijangkakan akan sedikit bergelut di jentera serangan.
Pemain yang lebih mesra dengan panggilan ‘Eky’ itu telah menyertai kelab Thai League 1, Nakhon Ratchasima FC secara pinjaman sehingga penghujung musim ini dan baharu sahaja membuat penampilan pertamanya malam tadi.
Telah meledak 4 gol dalam 5 penampilannya untuk PKNP FC dalam saingan Piala FA ketika ini, jelas kini terdapat satu ‘ruang kosong’ yang wajar diisi dengan pemain yang tepat dan setara dengannya.
Meskipun begitu, penolong pengurus pasukan, Arfrenddy Arasad menyatakan kepada Goal bahawa dia percaya yang ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim pasti ada ramuannya yang tersendiri.
Mampukah PKNP FC mengharungi dengan jayanya untuk aksi pertarungan semula pada malam ini tanpa sentuhan kapten dan juga mesin gol mereka, Shahrel Fikri?
Pahang mahu ke final lagi
Musim lalu, Pahang dikecewakan Kedah di pentas akhir dengan keputusan 2-3. Dua gol Baddrol Bakhtiar memastikan Kedah menjulang trofi tersebut buat kali ke-4.
Mereka mahu meneruskan kemaraan ke final sekali lagi dan dengan kehadiran semula tiga tonggak utama pasukan, Tok Gajah pastinya sudah bersedia untuk mengamuk di kandang lawan.
Kapten, Matthew Davies, Safuwan Baharudin dan Nor Azam Azih akan kembali dalam kesebelasan utama dan ini akan memberikan semula kekuatan dan ‘nyawa’ kepada pasukan.
Bercakap kepada Kosmo sejurus tamat aksi di Darul Makmur, janji ketua jurulatih, Dollah Salleh adalah Pahang akan bangkit di tempat lawan dengan kemasukkan ketiga-tiga pemain tersebut.
Namun, Tok Gajah kini dikhabarkan akan tempang tanpa dua tonggak serangan iaitu ‘Keli Boy’, Mohamadou Sumareh dan juga penyerang sensasi kelahiran Brazil, Patrick Cruz.
Rekod lampau vs prestasi terkini
Rekod pertembungan kedua-dua pasukan jelas kurang memihak kepada PKNP FC. Dari empat pertembungan, Pahang menang dua aksi dan dua lagi perlawanan terikat dengan keputusan seri.
Kali terakhir Pahang menang ke atas PKNP FC adalah dalam saingan liga pada awal Jun lalu di mana mereka menang 2-1 hasil jaringan Sumareh dan pemain tengah, Faisal Halim.
Sementara untuk lima perlawanan terkini, kedua-dua pasukan tampak setara dengan meraih satu kemenangan, dua seri dan dua kalah. Jelas, kedua-dua pasukan bergelut dengan prestasi.
Hanya 6 gol dari lima aksi terkini, Pahang juga bermasalah di jentera serangan sebagaimana PKNP FC. Mereka juga baharu sahaja dipintas Kedah untuk tangga ketiga unifi Liga Super.
Begitupun, mereka sebenarnya memiliki barisan pemain yang ada sentuhan pemusnah seperti Wan Zaharulnizam, Issey Nakajima Farran, Norshahrul Idlan Talaha dan supersub, Faisal Halim.
Pemain tumpuan
PKNP FC: Asyraaf Omar
Penjaga gawang ini mencuri tumpuan dalam pertembungan pertama tempohari apabila melakukan 5 aksi menyelamat dalam menafikan kemenangan buat Pahang di laman sendiri.
Berusia 24 tahun, dia juga dikhabarkan pernah menarik perhatian bekas pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada dalam aksi liga menentang Kuala Lumpur pada musim lalu.
Jika dia mampu beraksi baik di Stadium Perak malam ini, PKNP FC pasti akan mengejutkan Pahang namun, harus diingat, jentera serangan jangan leka dalam melakukan tugasan mereka.
Pahang: Wan Zaharulnizam
Jelas, Kecik atau Wan Zaharulnizam kini sudah kembali kepada prestasi terbaiknya. Dia telah meledak dalam dua perlawanan terkini iaitu ketika menentang PKNP FC dan Selangor.
Sudah pasti, dia sekali lagi ingin mencatatkan nama selaku penjaring disamping membawa Tok Gajah ke pentas akhir untuk tahun kedua berturut-turut.
Walaubagaimanapun, masih terdapat pemain-pemain lain yang juga berkualiti dan mampu menjadi tunjang kepada Pahang dalam pertembungan kedua malam ini.
Sebelum sepak mula
Terang lagi bersuluh, Pahang dan PKNP FC sangat jauh berbeza dari segi kualiti pemain yang dimiliki dengan Pahang memiliki nama-nama besar dalam arena bola sepak tempatan.
Namun, tentangan skuad muda PKNP FC tidak wajar dipandang rendah oleh Tok Gajah. Mereka pernah mengejutkan skuad serba lengkap 100Plus Liga Premier, Felda United di suku akhir.
Yang akan membezakan kedua-dua pasukan malam ini adalah sentuhan akhir jentera serangan. Pasukan yang berjaya menggilap semula sentuhan akhir pasti akan memenangi perlawanan ini.
Adakah PKNP FC akan melakar sejarah atau Pahang yang akan kembali ke pentas final buat tahun kedua berturut-turut?