Piala FA: Manzoor Azwira Unggul Atasi Yusri Che Lah Dalam Pertembungan 2 Rakan Baik

Yusri Che Lah Manzoor Azwira 2 rakan baik Perak Penang 2022

Pertembungan bekas rakan sepasukan di tahun kegemilangan Perlis 2006, Manzoor Azwira dan Yusri Che Lah menyaksikan Manzoor serta Penang FC lebih unggul mengatasi Perak FC dalam pusingan kedua Piala FA 2022.

Perak yang turun beraksi di laman sendiri hanya bangkit menuju 20 minit terakhir perlawanan yang akhirnya menyingkirkan mereka daripada Piala FA – gagal mengulangi pencapaian mara ke pentas final di edisi 2019.

Penang berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 4-1 untuk mara ke suku akhir Piala FA musim ini.

Penang terlebih dahulu membuka jaringan di minit ke-2 selepas Hilal El-Helwe menyempurnakan sepakan percuma di luar kotak penalti menewaskan Syazwan Syazani di sudut kanan gawang yang dikawalnya.

Manzoor dilihat menurunkan formasi 4-5-1 dengan Casagrande diletak sebagai penyerang tunggal di atas dan dibantu Endrick dos Santos dan Hilal di belakangnya. Menariknya kali ini, Danial Ashraf diletakkan di sebelah sayap kanan, sementara T. Saravanan diberikan lesen bergerak di sebelah koridor kiri Harimau Kumbang.

Saravanan tampak menjadi fokal serangan buat Penang dalam perlawanan ini apabila majoriti hantaran untuk menyerang ke kubu tuan rumah lebih menjurus ke arahnya untuk membuat larian pantas memecah pertahanan.

Antaranya pada minit ke-9 dan ke-11 yang hampir memberikan kelebihan besar buat pelawat apabila bek kanan tuan rumah, Aiman Yusni gagal membendung pergerakan Saravanan. Namun, Saravanan sedikit lemah dalam membuat keputusan. Aiman Yusni dilihat terpaksa menggunakan kekerasan untuk mengatasi pemain itu.

Namun, kesukaran demi kesukaran menyaksikan Aiman Yusni melalui malam yang lebih buruk. Pintasannya hasil hantaran lintang Hilal El-Helwe ke depan kotak penalti dilihat ‘cantik’ menewaskan Syazwan untuk gol kedua pelawat di minit ke-29. Ia adalah gol yang tidak dijangka oleh sesiapa termasuklah penjaga golnya.

Pengendali Perak, Yusri dilihat mengharapkan gandingan pemain lama seperti Firdaus Saiyadi dan Hakimi Isa untuk menjadi nadi pasukan yang dibarisi pemain muda dan tempatan ini selepas pemain seperti Wan Zack Haikal, Syamim Yahya dan Indra Putra Mahayuddin masih lagi tidak dibenarkan untuk diturunkan beraksi.

Di awal babak kedua, Perak memperolehi peluang terbaik untuk mendekat jurang gol di minit ke-58 menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti, namun sepakan yang diambil Firdaus Saiyadi gagal melepasi benteng.

Selepas acapkali dibayangi larian deras Saravanan di sebelah kanan dan kesilapan jaringan sendiri, Aiman Yusni akhirnya dikeluarkan Yusri dengan Idris Ahmad dibawa masuk untuk mengukuhkan semula benteng mereka.

Minit ke-69, Aqil Hilman akhirnya berjaya meledak jaringan pertama The Bos Gaurus apabila memanfaatkan rembatan Khairul Syafiq dengan membuat sentuhan mudah di depan penjaga gol Penang, Hafizul Hakim.

Perak dilihat semakin mencengkam perlawanan dan giliran pelawat pula tertekan. Namun, rentak permainan sedikit terganggu dengan beberapa siri kecederaan pemain kedua-dua pasukan menuju 15 minit terakhir.

Penang yang semakin longgar di benteng dilihat berjaya ditekan beberapa kali antaranya rembatan deras oleh Idris Ahmad yang hanya sipi melewati tiang gol dengan Hafizul Hakim hanya mampu memerhatikan sahaja.

Penang berjaya mendapatkan sepakan penalti di minit ke-89 selepas penjaga gol gantian lawan, G. Yuganes menjatuhkan Endrick di dalam kotak penalti dan ia disempurnakan oleh Hilal El-Helwe untuk gol ketiga mereka.

Di minit kecederaan, pemain gantian, Adib Raop yang juga merupakan bekas pemain Perak musim lalu berjaya merampas bola hasil kesilapan Idris seterusnya menewaskan Yuganes untuk Penang mendahului perlawanan 4-1. Ia terus menamatkan sisa kebangkitan dan menyingkirkan Perak daripada saingan Piala FA edisi kali ini.

Kemenangan ini membantu Manzoor mengatasi rakan baiknya di Perlis satu masa dahulu, Yusri Che Lah.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN