Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala FA 2022 selepas menumpaskan Terengganu 3-1 di Bukit Jalil.
Gol dari Arif Aiman dan jaringan berganda Bergson da Silva memberikan kejuaraan pertama Hector Bidoglio dalam kancah bola sepak Malaysia.
Separuh masa pertama menyaksikan penguasaan awal JDT apabila mereka berjaya membuatkan Terengganu tidak bergerak dari kawasan sendiri.
Walaupun Terengganu sekali sekala berjaya keluar dari kawasan sendiri untuk cuba menyerang, gerakan mereka berjaya dipatahkan dengan mudah oleh JDT.
Pertahanan Terengganu beberapa kali dilihat pasif dan seolah leka ketika permainan. Akibatnya, mereka hampir memboloskan gol daripada Arif Aiman pada minit ke-10 hasil gerakan dari sebelah kanan.
Mujur untuk rembatan Arif itu terkena tiang. Akan tetapi, sebelah kanan JDT adalah ruang terbaik untuk menyerang dan Fernando Forestieri berjaya mencipta percubaan dari arah sama pada minit ke-20 tetapi tidak berhasil.
Pasifnya pertahanan Terengganu cuba dihukum oleh Bergson da Silva pada minit ke-23 menerusi satu sungkitan dari jarak 40 meter namun ianya tersasar.
Selang seminit kemudian, barulah Terengganu ada melakukan percubaan menerusi serangan balas pantas.
Tchetche Kipre yang mengetuai serangan balas bagaimana pun gagal menyempurnakan situasi satu lawan satu berdepan Farizal Marlias walaupun ada Manuel Ott yang membantunya.
JDT akhirnya memperoleh jaringan pada minit ke-34 menerusi Arif yang mengambil kesempatan diatas kelekaan pertahanan Terengganu.
Gerakan yang dimulakan oleh Leandro Velazquez berjaya disudahkan oleh Arif menerusi rembatan kaki kiri.
34' GOL | Arif Aiman membuka tirai jaringan di Stadium Nasional Bukit Jalil!@FCTerengganu 0-1 @OfficialJohor #PialaFA2022 pic.twitter.com/LsjXwjdVJy
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 10, 2022
Separuh masa pertama sememangnya dikuasai oleh JDT dengan Arif, Bergson dan Velazquez menjadi teraju utama serangan.
Separuh masa kedua pula menyaksikan JDT terus menyerang dengan mahu mencari gol kedua bagi mematikan perjuangan Terengganu.
Dalam masa lima minit pertama 45 minit kedua, JDT menghasilkan tiga percubaan menerusi Bergson dan Forestieri.
Sementara bagi Terengganu, mereka cuba untuk melakukan beberapa serangan namun kurangnya sokongan terhadap rakan sepasukan dalam gerakan yang dilakukan mengecewakan skuad Penyu.
Memasuki sejam perlawanan, Terengganu tersentak apabila Rahadiazli Rahalim melakukan kesilapan apabila menjatuhkan Bergson dalam kotak penalti.
Bergson kemudiannya dengan mudah menewaskan Rahadi untuk menjadikan kedudukan 2-0.
62' GOL | Bergson da Silva menggandakan kelebihan JDT menerusi sepakan penalti!@FCTerengganu 0-2 @OfficialJohor #PialaFA2022 pic.twitter.com/KXLPFIu2rh
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 10, 2022
Tempo permainan menjadi sedikit kendur selepas gol kedua JDT itu dengan Terengganu seperti hilang punca.
Namun, berbaki 15 minit terakhir Terengganu berjaya mendapatkan gol menerusi jaringan sendiri La’vere Corbin-Ong selepas percubaan Kipre diselamatkan Farizal.
75' GOL | Terengganu FC merapatkan kedudukan selepas rembatan Tchetche Kipre terkena Farizal Marlias dan masuk ke gawang JDT!@FCTerengganu 1-2 @OfficialJohor #PialaFA2022 pic.twitter.com/dJ5tLGUIYd
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 10, 2022
Gol itu ternyata membuka semangat untuk Terengganu tetapi ianya terus dibunuh oleh kesilapan mereka sendiri selepas itu.
Hasil kelekaan pertahanan, JDT sekali lagi menghukum Terengganu dengan gol pantas menerusi Bergson sekali gus membunuh harapan Terengganu.
78' GOL | Bergson mencatat gol ketiga JDT!@FCTerengganu 1-3 @OfficialJohor #PialaFA2022 pic.twitter.com/qp7O0M2kl9
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 10, 2022
Terengganu mempunyai beberapa peluang untuk menyerang selepas itu tetapi semuanya sia-sia saja buat mereka.
Secara keseluruhannya, JDT jelas berada pada kelas mereka tersendiri dengan menguasai perlawanan serta ketajaman dalam mengambil peluang memberi manfaat buat Harimau Selatan.
Sementara bagi Terengganu, kelekaan di bahagian pertahanan menghukum segalanya dan ini adalah malam penuh kecewa buat mereka.
Keputusan penuh, Terengganu 1-3 Johor Darul Ta’zim. JDT juara Piala FA 2022.
Kesebelasan utama
Terengganu: Rahadiazli Rahalim (penjaga gol), Shahrul Nizam, Azam Azmi Murad, Faisal Halim, Manuel Ott, Habib Haroon, Petrus Shitembi, Faiz Nasir, Tchetche Kipre (ketua pasukan), Alif Zakaria, Pape Diakite
Johor Darul Ta’zim: Farizal Marlias (penjaga gol) (ketua pasukan), Matthew Davies, Afiq Fazail, Bergson da Silva, Leandro Velazquez, Shane Lowry, La’vere Corbin-Ong, Natxo Insa, Shahrul Saad, Arif Aiman, Fernando Forestieri