Terengganu akhirnya berjaya mengesahkan tempat mereka ke pusingan akhir Piala FA 2022 setelah kali terakhir mereka layak dan menjuarainya pada tahun 2011.
Kejayaan mereka pada perlawanan semalam terlakar menerusi penentuan penalti 4-2 setelah sebelum itu mereka terikat bersama Selangor 1-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Jumpa anda di PENTAS AKHIR PIALA FA 2022! 🏴🏳️#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/dMNjOv2pSh
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) August 6, 2022
Pada perlawanan tersebut, pelawat terlebih dahulu meledak gol pertama mereka di separuh masa pertama menerusi Norhakim Hassan sebelum kelebihan itu dipadam oleh Faisal Halim.
Perlawanan sengit tersebut juga diheret ke masa tambahan untuk masing-masing mencari gol kemenangan sebelum akhirnya ditentukan menerusi sepakan penalti.
Ini ada tiga fakto utama kejayaan Terengganu untuk mengatasi Selangor pada perlawanan semalam.
Pertahanan yang konsisten
Terengganu jelas mempunyai barisan pertahanan yang sangat berdisiplin semalam, terutama sekali menerusi pemain import mereka iaitu Pape Diakite untuk mengekang pergerakan lawan.
Berhadapan pasukan pelawat yang memiliki salah seorang penjaring gol terbanyak aksi Liga Super, jelas Terengganu kekal fokus mengekang pergerakan lawan sepanjang permainan berlangsung.
Gandingan Diakite bersama Shahrul Nizam juga dilihat mempunyai persefahaman yang bagus dan momentum tersebut pastinya mahu dikekalkan pada aksi final nanti.
Dominasi perlawanan
Walaupun pada awal permainan jelas kedua pasukan dilihat agresif untuk menyerang, terutama sekali Selangor sehingga tercetusnya gol pertama perlawanan buat pelawat.
Namun, kelebihan tersebut tidak kekal lama apabila Selangor pada separuh masa kedua dilihat kehilangan rentak dalam perlawanan dan peluang tersebut dieksploitasi dengan baik oleh Terengganu untuk mengasak ke kubu lawan.
48’ GOL | Faisal Abdul Halim menyamakan kedudukan buat Terengganu FC!@FCTerengganu 1-1 @selangorfc #PialaFA2022 pic.twitter.com/1qShDJEQMl
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 6, 2022
Dominasi perlawanan juga jelas dilihat memihak kepada tuan rumah apabila Selangor dipaksa untuk lebih banyak bertahan dan hanya mampu sesekali membuat serangan balas.
Kecemerlangan Rahadiazli
Penjaga gol muda kebangsaan ini wajar diangkat sebagai wira perlawanan kerana kematangan dan ketenangan dipamerkan beliau sepanjang perlawanan banyak menyelamatkan keadaan buat Terengganu.
Lebih menarik, Rahadiazli juga menjadi salah satu pemain penting yang menjulang Terengganu ke final apabila beliau menyelamatkan dua sepakan penalti yang diambil oleh Selangor.
🏆PLAYER OF THE MATCH : RAHADIAZLI RAHALIM🧤#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/PkbkdQ6gY2
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) August 6, 2022
Malah sepanjang perlawanan, beliau memberi fokus yang terbaik serta berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya yang dilancarkan oleh Selangor untuk mengelakkan gawang gol tuan rumah dibolosi.