Selangor melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA dengan penuh bergaya apabila membelasah pasukan Sri Pahang 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).
Dua ledakan daripada Mukhairi Ajmal, serta satu gol masing-masing oleh Faisal Halim dan Brendan Gan sudah cukup untuk membuatkan Sri Pahang hilang ‘seri’ dalam perlawanan ini.
Jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad ketika sesi sidang media ada menyatakan beliau menekankan aspek bertahan terutamanya untuk aksi separuh masa pertama.
Pendekatan tersebut tampak berkesan pada awalnya, apabila mereka berjaya mengekang kemaraan lawan menerusi blok rendah yang disusun dengan struktur 5-3-1-1.
Blok rendah ini bukan sahaja berkemampuan untuk meneutralkan ancaman serangan Selangor, bahkan ianya turut menjadikan gerakan serangan pasukan lawan menjadi lebih mudah untuk dijangka apabila tuan rumah dilihat lebih banyak melakukan pengedaran bola untuk mencari bukaan ruang di antara pemain lawan serta banyak mensasarkan ruang di belakang rantaian bek berlima Pahang.
Namun, Pahang tidak mampu untuk mengekalkan disiplin bertahan mereka apabila Selangor bijak memanipulasi isu garisan kedua mereka untuk membantu tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi Mukhairi pada penghujung babak pertama perlawanan.
Garisan kedua Sri Pahang terdedah kepada transisi permainan dan serangan terus pasukan Selangor
Isu garisan kedua ini berpunca daripada kegagalan Pahang untuk mengekalkan jarak kepadatan yang ideal sekali gus membuka ruang yang besar untuk dieksploitasi pemain Selangor.
Gambar di atas merupakan detik awal kepada gerakan yang menghasilkan jaringan pertama Selangor. Ianya bermula menerusi transisi permainan pantas daripada penjaga gol kepada Khuzimi Piee (dalam bulatan merah).
Pada waktu ini, dua orang pemain serangan Pahang (bulatan putih) berada di kawasan pertahanan Selangor.
Pemain tengah Selangor, Alex Agyarkwa (dalam bulatan merah) melebarkan hantaran kepada Mukhairi bagi melepasi garisan kedua pasukan Pahang yang diterajui tigah orang pemain tengah mereka (dalam bulatan putih).
Pada waktu ini, garisan kedua Pahang berada dalam keadaan kurang pemain (underloading) menerusi situasi empat lawan tiga.
Situasi ‘underloading’ ini turut mempengaruhi pemain ‘wing back’ Pahang (dalam bulatan putih) untuk tidak memberi tekanan kepada Mukhairi, serta kekal di posisi bertahannya.
Situasi sama turut mendedahkan tiga pemain tengah Pahang kepada situasi yang sama, sekali gus memberikan Mukhairi kelebihan dari segi ruang dan masa.
Serta membantu dirinya untuk melepaskan satu rembatan padu.
Sekali gus membantu Selangor untuk menjaringkan gol pertama mereka dalam perlawanan ini.
Isu garisan kedua ini turut mendedahkan Pahang kepada gerakan-gerakan serangan pasukan lawan yang disusun secara terus (direct), terutamanya di separuh masa kedua perlawanan.
Gambar di atas menunjukkan detik awal ketika Selangor menjaringkan gol keempat mereka dalam perlawanan ini. Yazan Al-Arab melakukan hantaran secara ‘diagonal’ kepada Hein Htet Aung untuk melepasi ‘mid-blocks 5-4-1’ Pahang.
Pemain-pemain Pahang ketika ini sedang berada dalam keadaan yang tidak teratur di saat Htet Aung menerima hantaran bola tersebut.
Kelewatan serta kegagalan pemain di garisan kedua Pahang untuk melakukan pengalihan garisan (shifting) telah menyebabkan bukaan yang besar di antara pemain mereka untuk dieksploitasi Selangor.
Serta membolehkan Gan untuk menerima hantaran bola dengan ruang serta masa yang mencukupi ekoran ketiadaan tekanan daripada pemain lawan.
Sekali gus membantu kapten Selangor tersebut untuk menjaringkan gol keempat pasukan Selangor.
Isu pertahanan harus diatasi Fandi
Kekalahan besar Sri Pahang dalam perlawanan ini menjadi satu indikasi betapa blok pertahanan kompak mereka mudah pecah ekoran kegagalan mereka dalam memastikan jarak yang ideal di antara setiap garisan pertahanan mereka.
Kegagalan pemain tengah untuk melaksanakan tugasan bertahan dengan baik turut membuka ruang yang besar untuk dieksploitasi pasukan Selangor.